Support My Blog

Saturday, January 16, 2010

Teknologi Tanaman Paku Pakis

Paku Pakis (Phylosytes) merupakan tumbuhan jenis Pteridofit iaitu jenis berdaun yang mengeluarkan benih dalam bentuk spora untuk pembiakan. Terdapat dua jenis paku pakis iaitu Jenis pakis PRIMITIF dan Jenis Pakis SEJATI. Pakis primitif mempunyai akar Rhizoid dan berbatang kecil, berwarna hijau yang keseluruhannya dan membantu proses fotosintesis. Pakis sejati atau juga dipanggil pakis sebenar mempunyai tiga (3) bahagian iaitu Bahagian Akar, Batang dan Daun yang jelas pembahagiannya. Bahagian daun pakis yang boleh dimakan ini adalah daun muda. Di Malaysia terdapat lebih 500 spesis paku-pakis liar dan hanya sebahagian sahaja yang boleh dimakan iaitu jenis Athyrium esculentum. Ada jenis paku pakis yang dijadikan ubatan kerana khasiatnya yang baik. Bagaimanapun saya dapati kebanyakkan paku pakis adalah untuk tujuan Tanaman Hiasan (Paling cantik seperti jenis Cycas spp, Lycopodium, Asplenium, Playcerium dll). Artikel kali ini saya menulis mengenai tumbuhan paku pakis ini didalam "Anim Agro Technology" sebagai satu bahan bacaan dan rujukkan berdasarkan kepada pengalamann penulis dan rujukkan daripada sumber. 


Pembiakan paku pakis melalui Spora yang terbentuk di bahagian bawah daun atau batang. Spora adalah struktur pembiakan halus yang berbentuk bulat, pipih dan sebagainya dan mampu terbang dibawa angin sejauh beberapa meter. Paku pakis mampu tumbuh secara berkelompok atau gerombolan atau secara individu. Jenis paku pakis sesuai tumbuh dikawasan terlindung dan lembab seperti ditepian sungai, kawasan lembab dan berair tetapi tidak banjir. Kawasan tanah gambut yang lembab dan mempunyai cukup sinaran matahari sesuai untuk pertumbuhan paku pakis jenis yang pakis paku gajah ayau pun jenis daun merah. Kebanyakan tumbuhan ini adalah tumbuh secara semulajadi dan akan bertahan asalkan mempunyai kawasan lembab dan tidak terganggu. Paku pakis juga tumbuh dikawasan tanah daratan dimana ianya membiak dengan cepat.


Paku Pakis di Sarawak di panggil sebagai "MIDIN" dikalangan orang tempatan iaitu merupakan satu jenis sayuran dikategorikan sebagai Sayuran Organik yang sangat digemari. Semasa saya bermastautin di Kuching , Sarawak lebih dua tahun, memang amat puas makan pucuk midin yang tumbuh dibelakang kuarters dan dibeli di pasar besar Satok. Paku Pakis ini di kutip pada waktu pagi dikawasan tanah gambut dalam belukar di sekitar tanah lapang dengan memetik 25 - 45 cm bahagian pucuk pakis yang lembut dan berwarna hijau yang tumbuh . Pertumbuhan pucuk paku pakis lebih cergas pada musim hujan dan panas saling berganti. Satu ikat lingkungan 200 -300 gram yang diikat dengan getah dan dijual dengan harga RM1.00. Pucuk Midin amat sesuai dimasak sebagai sayuran segar dengan menggoreng atau di tumis dengan ikan bilis dicampur udang segar atau udang kering atau daging dengan bawang putih dan sedikit garam. Kalau anda berkunjung ke Kuching, terdapat beberapa buah restotan seperti Restoran TOP CLAYPOT yang akan  menghidangkan masakan midin secara komersial kepada pelanggan selain daripada hidangan laut seperti ikan, udang, Ambal, ketam dsb. Sajian ini dimakan bersama nasi panas dengan minuman air teh China. Harganya amat berpatut dan amat sesuai untuk makan bersama keluarga atau rakan-rakan.


Hingga kini beberapa kajian mengenai penanaman paku pakis yang boleh dimakan telah dijalankan oleh MARDI Sarawak , MARDI Pontian dan Pusat Pertanian Air Hitam Johor. Bagaimana pun saya agak sukar untuk mendapatkan bahan rujukan mengenai hasil kajian yang dijalankan. Saya berpengalaman membuat petak pemerhatian percubaan menam paku pakis semasa bertugas di Johor. Penanaman percubaan paku pakis dibuat di Pusat Pertanian Air Hitam untuk mengkaji kesesuaiannya dengan kaedah penanaman secara komersil. Kawasan dipilih adalah daripada tanah mineral dibawah naungan pokok kelapa berumur lebih 20 tahun dengan kadar pancaran matahari sekitar 50%. Kaedah penanaman dibuat dengan bahan tanaman anak pakis yang dikutip dari kawasan liar. Benih yang diambil bersama perdu ini disusun dengan jarak 2 kaki x 2 kaki dan ditanam sedalam 4 - 8 inci dalam barisan. Bagi mempastikan air mencukupi, sistem pengairan sprinkler dipasang dengan  disiram 2-3 kali sehari sehingga akar tumbuh. Baja organik digunakan diatas tanah sebanyak 10 kampit (20 kg/bag) untuk kawasan 0.1 hektar. Pengurusan plot percubaan ini dibuat mengikut amalan seperti menanam sayuran biasa. Hasil kajian ini , saya dapati setelah 6 bulan pemerhatian yang dibuat, didapati hanya 30% sahaja yang tumbuh dengan baik sementara sebahagian besar mati. Kajian ini menunjukkan pokok paku pakis agak sukar untuk diadaptasi dikawasan penanaman yang telah ada tanaman lain atau kawasan bukan asal ia tumbuh secara semulajadi. 


Belum ada Pakej Teknologi terkini untuk menanam pokok paku pakis setakat ini di terbitkan. Paku Pakis merupakan satu lagi potensi untuk di majukan pada masa akan datang dengan identiti "SAYURAN TRADITIONAL ORGANIK" dan Jabatan Pertanian boleh membantu memberikan sijil SOM kepada bakal-bakal pengusaha. Pada masa ini kita hanya boleh dapatkan bekalan pucuk paku pakis di Pasar Malam, Pasar Basah dan jarang didapati di Hypermarket atau Supermarket. Diharap pada masa akan datang industri tanaman paku pakis akan di usahakan secara komersial seperti juga paku pakis yang di majukan untuk ornamental (Tanaman Hiasan). Kita di Malaysia masih bersyukur kerana kita boleh beli pucuk pakis dengan murah di pasar malam atau pasar tani atau pasar tamu yang murah dan segar. Mungkin ada khasiat khusus pada tanaman pakis untuk makanan kesihatan atau bahan komestik yang baik.Semuga tanaman ini menjadi tanaman penting pada masa akan datang. Wasallam!

MAKAN PAKU PAKIS...ENAK SEKALI....
HARGANYA MURAH... SEGAR TERBUKTI...

PENYELIDIKAN PAKIS...TAK BANYAK LAGI...
MAKLUMAT PAKIS...MARILAH KITA CARI...



By,
M Anem
DOA Muar
Johor
Malaysia
Januari 2010
(Updated by 17 Januari 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...