Support My Blog

Wednesday, April 21, 2010

Limau Purut


Limau Purut (Citrus hystrix) atau juga dipanggil sebagai "Kaffir Lime" merupakan sejenis limau dari keluarga Rutaceae iaitu dari kumpulan Genus Citrus. Limau Purut dipercayai berasal dari Asia Tengara seperti Indonesia, Malaysia, Thailand dan Laos serta negara jiran yang lain. Pokok limau purut ditanam diseluroh dunia sebagai bahan tanaman herba atau tanaman hiasan dan ornamental dikawasan keliling keliling rumah. Keluasan tanaman limau purut di Malaysia yang saya buat kajian dengan Jabatan Pertanian tiada rekod rasmi kerana tanaman ini ditanam sebagai tanaman keliling rumah untuk kegunaan sendiri. Limau jenis ini dipanggil sebagai limau purut kerana bentuk buahnya yang mengerutu seperti purut atau seperti kulti katak puru. Selain itu bentuk daunya juga berbeza dengan limau jenis lain kerana ia seakan mempunyai bentuk 'Nombor 8'. Terdapat beberapa kajian mengenai varieti limau purut oleh beberapa saintis pertanian tetapi sehingga kini belum ada varieti khusus yang didaftarkan dibawah 'Nasional Listing Jabatan Pertanian'. Saya fikir kalau ada yang ingin bertanya saya katakan 'Varieti Lumau Purut Tempatan' sahaja. Maklumat dari beberapa sumber menunjukkan ramai petani di Johor, Kelantan dan Selangor yang menanam limau purut secara komersil tetapi ianya  bercampur dengan pokok buah2an yang lain. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis menganai teknologi penanaman dan maklumat mengenai limau purut untuk bacaan dan rujukkan anda.


Pokok limau purut mengeluarkan buah dan daun yang berbau harum dan digunakan dalam masakan tempatan (Masakan Rendang Daging/ Rendang Ayam, Masakan Tomyam, Sup Sayur, Masakan Sup Asam dan sebagainya). Daun limau purut mengandungi sejenis minyak yang beraroma wangi yang kuat iaitu bahan kimia yang dikenali sebagai Citrus hystrix sebanyak 14% bagi sabinine dan 15% bagi liminene. Daun limau purut sangat sesuai dikisat (blender) dengan buah mengkudu untuk menghilangkan rasa tidak enak jus buah mengkudu (305 biji buah mengkudu dimasukkan 2-3 helai daun limau purut).
Limau purut juga sering digunakan oleh pengamal perubatan tradisional atau bomoh sebagai bahan perubatan kerana sifat semulajadi limau tersebut yang menghasilkan bau harum. Buahnya mempunyai kulit yang mengerutu seperti kulit katak puru, berwarna hijau gelap dengan purata saiz 4 - 7 cm lebar. Daunnya mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pangkal dan hujung dimana batangnya mempunyai duri tajam. Ketinggian pokok limau purut mampu mencapai 4 - 5 meter kalau ditanam diatas tanah. Biasanya pokok limau purut ditanam dalam pasu di keliling rumah.


Kawasan yang sesuai untuk tanaman limau purut di kebun ialah tanah liat lom yang subur, tidak banjir dan mempunyai kandungan bahan organan yang tinggi. Lubang penanaman berukuran 0.6 meter x 0.6 meter x 0.6 meter diisikan dengan Baja Triple Super Phosphate (100 gram), Baja Tahi Ayam (100 gram) dan 100 gram GML digaul sehingga rata. Jarak tanaman limau purut komersil yang disyorkan ialah 6 meter x 6 meter jika ditanam monokrop iaitu satu jenis sahaja. Bahan Tanaman (Anak Benih) daripada pokok induk yang dikenalpasti baik dan biakkan secara Tampang (Tut). Pilih anakbenih yang sihat, bebas dari penyakit serta mempunyai aroma yang kuat serta bersaiz agak besar daunnya. Jika ditanam dalam pasu, kita perlu sediakan tanah campuran dengan kadar 3:1:1 (Komposisi Tanah: Tahi Ayam: Pasir). Tanah campuran dimasukkan kedalam pasu sehingga paras 2 inci (5 cm) dari paras permukaan pasu dan mempunyai lubang air dibahagian bawah pasu. Pastikan pasu yang agak besar untuk mendapatkan hasil lebi baik dan letakkan dilikasi dimana ia menerima sinaran matahari yang mencukupi.


Penyiraman penting untuk pokok yang baru ditanam untuk 2-3 bulan pertama. Jadual pembajaan di ladang banyak menggunakan baja organik tahi ayam dengan kadar 5 kg/pokok dijalankan dua kali setahun pada peringkat tumbesaran (Tahun 1 - 3). Tabur baja urea dengan kadar 50 gm/ pokok setiap kali pembajaan. Keperluan baja limau purut untuk dalam pasu sebanyak 1 kg/pk dua kali setahun dan baja urea sebanyak 20 gm/ pokok/ tahun. Sungkupan pada keliling pokok limau purut perlu untuk tingkatkan kesuburan dan kelembapan tanah. Cantasan pembentukkan perlu dibuat peringkat awal dan juga cantasan penjagaan dengan membuang dahan kering atau yang kurang sihat. Cara membuat cantasan juga boleh diprogramkan dengan tuaian untuk tujuan pemasaran daun limau purut. Kawalan rumpai dengan manual iaitu dengan mencabut atau memotong menggunakan mesin rumput dan boleh menggunakan racun kimia (Jika perlu sahaja).


Antara muasaalah tanaman limau purut ialah serangan oleh sejenis serangga iaitu Ulat Pengorek Daun (Phyllocnitis citrella), Koya, Lalat Buah (Bactocera spp) dan Kumbang Cockchafer (makan pucuk muda). Kutip serangga perosak jika ia dijumpai pada pokok yang ditanam dalam pasu dan musnahkan. Sebaiknya elakkan daripada menyembur sebarang racun kimia pada pokok limau pueut kerana ia digunakan sebagai bahan makanan dan untuk tujuan kesihatan. Satu lagi yang saya perhatikan menyerang daun limau purut adalah Ulat Pelombong Daun (Leaf Miner) dimana menyebabkan kualiti daun limau ini terjejas. Penyakit pokok limau purut yang mungkin ujud adalah seperti Citrus Greening Disease (CGD), Reput Akar dan Antraknos (Collectotricum spp). Kawalan serangga perosak dan penyakit boleh dilakukan secara bersepadu dengan kaedah manual dan kimia.


Pokok limau purut mula berhasil selepas 2-3 tahun ditanam di ladang tetapi jika menanam anakbenih yang besar dalam pasu, ia boleh dipetik dalam masa singkat unuk kegunaan sendiri dirumah. Pokok limau purut tidak menghasilkan buah yang banyak berbanding dengan limau lain kerana kadar bunga dan pembentukkan buah limau purut adalah sangat rendah. Pemerhatian penulis mendapati anggaran hasil cuma lingkungan 100 gram/pokok pada tahun ke 3 meningkat kepada 500-800 gram/ pokok pada umur 5-10 tahun. Penghasilan daun lebih penting untuk tanaman limau purut dikeliling rumah. Aktiviti memetik daun limau purut lazimnya akan melambatkan lagi pokok mengasilkan bunga dan buah. Kempen Bumi Hijau oleh Jabatan Pertanian menggalakkan penanaman limau purut sebagai pilihan. Kepada ada yang belum ada menanam pokok limau purut dirumah boleh membeli anakpokok dipasar tani atau nurseri terdekat untuk kegunaan sendiri. Wasallam!.


JENIS LIMAU....MINAT LIMAU PURUT...
DI BUAT BENIH... GUNA CARA TUT....
MENGUTIP DAUN ... TERUS DILURUT....
MASAK RENDANG ...ENAK TAK SEBUT....
MAKAN SEDAP ..... KENYANG PERUT...
TIDAK BELI ... TANAM SENDIRI KOT...


By
M Anem

Senior Agronomist
Precint 11,
Putrajaya

Malaysia
(Kemaskini pada 14 Julai 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...