Support My Blog

Thursday, April 8, 2010

PETOLA SEGI



Petola Segi (Luffa acutangula) merupakan sejenis sayuran buah dari keluarga Cucubitaceae yang ditanam secara komersial di Malaysia. Walau pun tanaman ini agak mudah ditanam tetapi ilmu teknikal petani perlu tinggi untuk mempastikan penghasilan yang lumayan dan mampu mencapai seperti hasil potensi. Penulis berpengalaman luas dalam menjalankan kerja-kerja khidmat nasehat terhadap penanaman petola segi semasa bertugas di TKPM Sekijang di Segamat dan Daerah Mersing. Penanaman secara komersial dijalankan secara meluas di Johor, Pahang dan Kelantan. Pada 2011 seluas 1,280 hektar petola ditanam dengan pengeluaran sebanyak 13,980 metrik tan. Kawasan paling luas ditanam petola pada 2011 ialah Daerah Bera di Pahang (83 ha) diikuti Daerah Kota Tinggi di Johor (72 ha) dan Daerah Tumpat Kelantan (66 ha). Artikel pagi ini saya menulis tajuk penanaman petola segi didalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama dengan semua pembaca blog ini sebagai rujukan.



Petola segi mengandungi zat makanan yang tinggi dengan Air (94.2 gram) setiap 100 gm selain dari kandungan protin (0.5 gm), Karbohiderat (3 gm) dan pelbagai vitamin. Petola dimasak sebagai sayuran dengan dimasak tumis atau masak air. Bagaimana pun kajian saya mendapati kebanyakan penggunaan petola di Malaysia adalah sebagai sayuran segar sahaja. Belum terdapat industri memproses buah petola dalam aktiviti industri asas tani. Terdapat kes dimana saya terjumpa yang sabut petola kering digunakan sebagai alat untuk membasuh pinggan atau alat kosmetik cuci muka. Semasa saya bertugas di pendalaman Sarawak dulu memeng selalu nampak mereka dikawasan pendalaman menggunakan sabur petola sebagai bahan berguna dalam kehidupan harian. Bentuk kulit buah yang agak kasar dan keras sesuai disimpan lebih 5 hari berbanding sayran buah yang lain.


Petola segi sesuai ditanam dalam semua keadaan atau jenis tanah kecuali tanah masam dan kawasan sering banjir atau tenggelam. Tanah yang hendak ditanam perlu dibersihkan dan dibajak(Kawasan baru) dan di gemburkan semula (kawasan sedia ada) 1-2 minggu sebelum menanam. Kawasan tanah baru perlu dibajak piring sedalam 15-22 cm sebelum dibuat batas dan dinaikkan tiang junjung. Kayu junjung sebanyak 650 batang/ha berukuran 7 kaki panjang diperlukan bagi menyediakan sistem junjung dimana di tanam 2 kaki dalam tanah dan disambung dengan kawat junjung bersaiz No 10 (3 gulong/ha) atau No 14 (sebanyak 15 gulong/ ha) . Kaedah SistemTrellis adalah yang disyorkanterbaik untuk tanaman petola. Bubuh baja asas organik dan kapur dengan kadar ditentukan.




Batas disediakan dan ditutup dengan sungkupan plastik silvershine untuk tujuan kawalan rumpai, kelembapan tanah, Pembajaan, Siraman air dan kawalan penyakit. Keperluan plastik silvershine sebanyak 20 gulong/ha. Pilih benih yang sesuai dengan pasaran dan keperluan benih lingkungan 5 kg/ha. Dengan jarak tanaman 60 cmx 150 cm dengan sebanyak 9,750 pokok/ha. Terdapat teknologi menggunakan pukat ikan terpakai (ukuran pukat 30m x 1.5 meter /gulong) untuk penanaman petola dengan keperluan sebanyak 175 gulong /ha yang diikat dengan dawai no 10 diantara tiang utama.


Pembajaan dijalankan dengan NPK !5:15:15 sebanyak 200 kg/ha 14 hari lepas tanam (HLT) dan pembajaan kedua pada 30 HLT sebanyak 200 kg/ha juga atau kira-kira 20 gram/pokok . Baja buah NPK 13:13:20:2 sebanyak 200 kg/ha juga diberikan pada 40 HLT dan 63 HLT. Hasil akan dituai pada 50 HLT dengan jarak kutipan hasil mencapai jangkamasa sehingga 120 HLT (3 bulan). Tanda-tanda petola matang dan sesuai untuk dituai apabila kulitnya berwarna hijau gelap bertukar kepada hijau cerah, bersegi dan mudah patah serta isi masih lembut dan belum berserabut (Terlalu tua).

Terdapat beberapa musuh tanaman petola yang sering dijumpai di kebun. Kutu Daun (Aphis spp) menghisap cecair dari pucuk akibatkan pokok kerekot dan aphid merupakan pembawa penyakit virus. Kawalan dengan APB (Amalan Pertanian Baik). Kutu Trips (Thrips palmi) menghisap air bawah daun akibatkan daun kerinting dan rosak yang sesuai dikawal dengan APB. Pelombong Daun (Lirioinyza spp) menyerang ketika larva mengirek daun berbentuk "S" akibatkan nekrotik seperti terbakar juga dikawal dengan ABP. Kumbang daun (Aulacophara spp) memakan daun menyebabkan lubang2 kecil. Serangan Kumbang Kura-kura (Epilana indica) dan Lalat Putih (Bemisia labac) boleh dikawal dengan racun serangga seperti Makathion. Kadang-kadang Lalat Buah (Bactrocera indica) menyerang buah muda akibatkan kerekot pada buah. Terdapat juga serangan siput dikawasan tertentu.


Penyakit petola pula pada pengalaman saya paling serioun adalah Kulapok Downy (Pseudoperonospora cubensis) yang mampu memusnahkan tanaman petola dalam masa singkat dan menyebabkan pokok akan mati. Kawalan dengan beberapa racun kimia pada tahap awal (spt Ridomil dsb) dan APB. Penyakit antraknos Atau Bintik Berpusar (Collectotricum indemunthianum) menyerang daun dan buah akibatkan kehitaman dan lekuk. Penyakit lain pada petola adalah Kulapuk Berdebu (Erysiphe cichoracenarum) dan Penyakit Mozek Virus.


Hasil petola boleh mula dituai selepas 40 -45 hari seleps ditanam dengan kekerapan memetik sekitar 1-3 hari bergantung kepada kepadatan tanaman. Jangkamasa memetik hasil petola adalah selama 55 - 60 hari bergantung kepada pengurusan tanaman. Pemerhatian saya terhadap tanaman petola menunjukkan jika pokok ditanam rapat (ikut syor diatas) ianya tahan selama 3 bulan tetapi jika ditanam dengan sebaris pada jarak 1 meter ianya akan bertahan sehingga melebihi 3 bulan. Anggaran hasil sebanyak 16 - 18 metrik tan sehektar dan kerja memetik hasil dijalankan dengan memotong tangkai menggunakan pisau tajam. Tanda yang petola telah matang dan sesuai untuk dipetik apabila warna kulit yang berwarna hijau gelap bertukar kepada hijau cerah dan mudah dipatahkan. Pada masa ini isi adalah masih lembut dan tidak berserabut. Jika dipetik terlalu tua tidak sesuai untuk dijadikan sayuran kerana keras dan berserabut.


Buah petola yang dipetik perlu disusun didalam bakul plastik dean dialas dengan kertas suratkhabar. Jalankan proses menggred mengikut saiz dan ciri-ciri penggredan disyorkan. Harga ladang petola di Johor sekitar RM 0.50 - RM 0.80 sekilogram atau purata tahunan sekitar RM 0.60 sekilogram. Pengalaman saya menjual petola dari projek TKPM Sekijang dulu mendapati jika petola disimpan dalam suhu bilik sekitar 15 celcius dengan lelembapan 80-90% akan tahan selama 2 minggu. Aktiviti penanaman petola secara komersil adalah menguntungkan dengan kadar untung bersih sekitar RM 5,300 sehektar semusim. Selamat menanam petola.. 


PETOLA SEGI .. DIPANGGIL GAMBAS...
PETOLA PANJANG... ITU PETOLA ULAR...
PETOLA BIASA.... MAKAN TAK PUAS...
PETOLA PERCUMA....LAWAT PROJEK LA...


By
M Anem
Projek Sayuran Komersil
Batu 19, Sengkang, Muar,
Johor
(Revised article on 30 September 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...