Support My Blog

Wednesday, July 21, 2010

Proses Jeruk Kedondong



Bagaimana kita nak Buat Jeruk Buah Kedondong?

Buah Kedondong (Spondalis dulcis) merupakan sejenis buah tempatan yang berbuah sepanjang tahun dengan pengurusan yang baik. Terdapat seluas lebih 150 hektar tanaman kedondong di Malaysia yang ditanam secara komersil atau secara suka-suka keliling rumah. Rasa buah kedondong adalah sangat masam dan selain daripada di makan segar ianya sesuai untuk di buat jeruk (Pickle). Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis yang memberikan khidmat nasehat mengenai proses membuat jeruk di Segamat beberapa tahun lalu.

Buah kedondong yang sederhana tua diambil dari pokok pilih buah yang seragam saiznya, tidak terlalu tua dan bentuk yang dikehendakki. Sebanyak 50 biji kedondong (boleh tukar kepada buah lain seperti mangga muda, cermai, betik, keluing dan apa2 buah yang ingin dijerukkan) dan perlu dibersihkan dari kekotoran dengan air bersih. Bagi kedondong disyorkan buang kulit hijau atau kupas dahulu dan toskan untuk dapatkan warna dan keseragaman. Sebaiknya buah kedondong tidak di belah dua tetapi jika saiznya agak besar disyorkan untuk dibelah dua.

Buah kedondong yang bersih dimasukkan kedalam bekas (plastik atau lain2 bekas) dan kemudian masukkan kira-kira 1/2 cawan garam kasar yang dilarutkan dalam 2 liter air (Tidak larut sangat pun tak apa asalkan jumlahnya mencukupi). Garam ini akan larut perlahan-lahan mengikut masa nanti. Kemudian masukkan sebanyak satu (1) cawan gula pasir kedalam bekas yang mengandungi buah kedondong tadi. Bagi mempastikan jeruk kita sedap masukkan 1/2 keping gula kabung ( boleh juga ganti dengan 2 sudu besar gula melaka atau gula merah).

Masukkan juga sebanyak 4 biji cili padi (Capsicum frutscens) bagi memberikan rasa pedas kepada jeruk kedondong kita. Ada pengusaha yang tidak mahu bubuh cili padi (Jadi ianya adalah optional). Rasa pedas, manis dan masin akan memberikan lagi rasa ummph kepada jeruk kita kelak. Masukkan juga sebanyak 2 liter air untuk air gula kemudiannya dan sebanyak 1 sudu kecil garam halus atau secukup rasa.

Simpan selama 2-3 hari dalam bekas untuk dapatkan rasa jeruk kedondong yang sebenar. Jeruk kedndong boleh dimakan sendiri atau jika buat banyak boleh dijual. Saya tinjau potensi harga jualan jeruk kedondong antara RM 0.30 – RM 0.50 sebiji bergantung kepada saiz. Golongan kanak-kanak , remaja dan ibu-ibu mengidam adalah antara mereka yang minat makan jeruk kedondong. Selamat menanam pokok kedondong dan buat jeruk kedondong sendiri !

Ringkasan Cara-cara buat Jeruk Kedondong.
1. Kupas, basuh dan tuskan buah kedondong -
2.rendam dalam air garam semalaman.
3. Bilas buah kedondong dan tuskan.
4. Masak air - masukkan gula pasir, gula kabung dan garam halus.
5. Kemudian sekali masukkan cili padi (Jika mahu).
6. Bila air gula dah sejuk, tuangkan ke dalam bekas buah kedondong. biasanya saya masak air gula ni 3 jam sebelum langkah ke 2 supaya bila kita dah siap toskan buah maka air gula dah cukup sejuk
7. Simpan dalam peti sejuk - seelok-eloknya biarkan 2 hari baru dinikmati.


TANAM KEDONDONG....DIBUAT JERUK...
PROSESNYA MUDAH... KERJA TAK TERUK...
MAKAN SENDIRI ... DIJUAL PUN BOLEH...
MAKAN JERUK... KAWAN TAK TOLEH...


Related articles:
1. Buat Jem Rambutan (Klik disini)
2. Bengkel Teknologi Nenas (Klik disini)
3. Proses Buah Naga (Klik disini)
4. Wheel Barrow (Klik disini)


By
M Anem
Dulu Suka Jeruk
Segamat, Johor,

Malaysia
Julai 2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...