Support My Blog

Sunday, November 27, 2011

NASI AMBENG

NASI AMBENG atau kini dipanggil oleh rakyat Malaysia NASI AMBANG merupakan satu menu turun temurun dikalangan masyarakat Jawa Malaysia semenjak dulu kala. Nasi Ambeng disediakan oleh setiap keluarga dikampong untuk dibawa ke surau bagi setiap sambutan Nuzul Quran atau 'Punggahan' dikalangan masyarakat di kampong di Muar semenjak berpuloh tahun dulu selepas majlis doa selamat. Cara makan nasi ambeng dalam majlis ini adalah dengan menghidangkan dalam dulang besar dan dimakan berama bersama-sama 4-6 orang satu hidangan. Jika tidak dimakan atau tetamu dijemput jiran dari kampong lain maka nasi tersebut akan dibahagi-bahagikan dikalangan mereka dan dibungkus untuk dimakan bersama ahli keluarga di rumah. Mereka akan bahagikan sama rata dan dibungkus dengan daun pisang dan dibawa balik dipanggil sebagai 'Berkat'. Kini nasi ambeng telah dikomersilkan dan boleh dibeli untuk sarapan pagi, makan tengahari atau makan malam. Artikel malam ini saya berkongsi maklumat dengan anda mengenai resepi nasi ambeng untuk pengetahuan anda.


Komponen penting dalam Nasi Ambeng adalah NASI, DAGiNG AYAM , SERUNDING, TEMPE GORENG, TAUHU GORENG, IKAN KERING, TERUNG , MEE KENDURI, SAMBAL GORENG dan PACERI NENAS. Kesemua komponen nasi ambeng ini akan disusun dalam satu bekas atau satu dulang sama ada dibungkus dengan daun pisang atau tidak dibungkus. Aroma daun pisang yang digunakan sebagai alas pelapik akan memberikan rasa enak dan lazat kepada nasi ambeng tradisional. Aktiviti bagi memasak dan menyediakan nasi ambeng ini memang memerlukan masa yang lama antara 3-6 jam dan bergantung kepada berapa banyak jenis lauk yang hendak dimasak untuk resepi nasi ambeng.


Beras yang sedap dimasak lazimnya dari beras berkualiti separa hancur kerana nasi akan lembut dan akan berbau wangi apabila diletakan dalam daun pisang. Sebaiknya masak menggunakan kayu api (bau kayu api juga menaikan selera) atau pun kini gunakan gas masak atau 'rice cooker'. Lebihkan air untuk mendapatkan kualiti nasi yang agak lembik dan lembut. Nasi yang sudah siap dimasukkan dalam dulang sebagai lapisan asas nasi ambeng. Daging Ayam merupakan komponen paling popular lazimnya dimasak Ayam Kicap walau pun  ada juga yang masak Ayam Ungkep atau masak ayam sambal mengikut kegemaran. Ayam Kampong paling sesuai atau ayam pencen selain daripada ayam daging biasa.


Sambal goreng jawa.
Komponen nasi ambeng lain yang penting adalah Mee Kenduri dan Sambal Goreng. Mee Kenduri dibuat menggunakan mee kuning yang digoreng dengan lada sulah, taugeh, ikan bilis dan kicap lemak manis. Mee kenduri akan dibungkus dengan daun pisang secara berasingan dalam 'berkat'. Sambal Goreng pula disediakan dari bahan mee so'on, tempe, tahu kering, kacang panjang, ikan bilis, kobis dan cili yang dipotong-potong dan ditumis. Kadang-kadang sambal goreng yang agak pedas ini ditambah dengan kicap dan juga petai. Sambal goreng ini juga akan dibungkus dalam daun pisang. Rasa sambal goreng yang pedas ini melengkapkan keenakkan nasi ambeng yang dihidangkan.


Paceri Nenas merupakan menu wajib dalam nasi ambeng. Nenas yang masak dikupas dan dimasak dahulu sebelum dimasak sebagai Paceri Nenas. Rasa masam manis nenas dalam nasi ambeng menaikan selera dimana ianya dibungkus juga dengan daun pisang. Serunding Kelapa juga merupakan satu komponen penting dalam nasi ambeng yang mana ia disediakan menggunakan kelapa parut. Kelapa parut akan dicampur dengan bahan herba serunding seperti ketumbar, jintan dan digoreng sehingga hampir kering dan cukup masak. Bubuh sedikit garam dan gula. Ikan Kering juga merupakan lauk penting dalam nasi ambeng. Jenis ikan kering yang digunakan ialah 'Ikan Kering Bulu Ayam' sama ada digoreng dengan tepong atau tanpa tepong. Kadang-kadang ada juga yang gunakan ikan kering kecil jenis lain.


Tempe Goreng dan Tahu Goreng adalah diantara komponen pilihan dalam nasi ambeng. Tempe yang di potong dadu panjang atau tiga segi ini dicelup dalam air garam sebelum digoreng. Begitu juga dengan tahu goreng yang juga dipotong tiga segi dan dicelup dengan air garam garam dan digoreng sehingga garing. Ada juga kadang kala Terung digunakan dalam nasi ambeng untuk digoreng atau dibuat pacri terung.  Kadangkala Cili hijau besar dipotong dua dan dimasukkan dalam ramuan nasi ambeng. Begitulah banyaknya ramuan-ramuan serta lauk-pauk dalam nasi ambeng tradisional yang disediakan. Bagaimana pun nasi ambeng komersil yang dijual dengan harga RM 4.50 - RM 6.00 sebungkus lazimnya mempunyai 2-3 lauk jenis sahaja. Lauk nasi ambeng komersial dipasar malam atau bazaar ramadan lazimnya hanya ada ayam masak kicap, mee goreng, ikan kering dan serunding sahaja. 


Makan nasi ambeng yang dibuat sendiri atau dari surau memang menyeronokan. Ini kerana cara makan tetamu duduk disekeliling nasi ambeng dan makan dengan tangan (Tidak dibenarkan pakai sudu dan garpu). Sambil makan sama-sama potong ayam dan makan lauk pauk dihidangkan bersama-sama. Semangat berebut-rebut dan semangat berkumpulan menyebabkan keseronokan ketika makan nagi ambeng dan meningkat kemesraan dikalangan ahli masyarakat. Sesungguhnya nasi ambeng dapat mengeratkan sirahtulrahim dikalangan anggota maysarakat di kampong dan di dalam negara kita!


NASI AMBENG...MEMANG LAZAT RASANYA...
MAKAN BERSAMA....BANYAK LAUKNYA....   
CARA MASAK...PELBAGAI RAMUANNYA...
NASI AMBANG...KINI NAMA KOMERSILNYA...


By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(! Muharram 1433H - artikel ke 3 hari ini)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...