Support My Blog

Saturday, April 14, 2012

CEMPEDAK CH35

CHEMPEDAK (Artocarpus interger) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Moraceae yang ditanam untuk pasaran segar. Terdapat seluas 10,680 hektar tanaman cempedak ditanam di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran hasil sebanyak 53,020 metrik tan. Kawasan utama penanaman chempedak di Sarawak, Sabah dan Perak serta Johor. Kajian saya daripada beberapa sumber rujukan rasmi mendapati terdapat sebanyak 25 varieti klon chempedak yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Artikel subuh ini saya menulis sejenis varieti Chempedak yang paling akhir didaftarkan iaitu Klon CH35 didalam senarai 'National Listing of Fruits' di Malaysia untuk rujukkan dan pengetahuan anda semua. Foto diatas menunjukkan isi cempedak CH35 yang matang dan sedia untuk dimakan segar.


Varieti Buah Chempedak CH35 ini mempunyai saiz panjang  buah yang agak pendek dengan ukuran purata 29.7 cm dan lebar ukurlilit buah adalah 15 cm. Bentuk buah yang panjang dan bulat ini mempunyai kadar panjang dan lebar pada angka 2.0:1.0. Ukuran panjang tangkai buah sekitar 7.3 cm dimana rupa bahagian luar adalah sangat berbonjol (Lihat foto sebelah). Bonjol buah cempedak CH35 sangat ketara dengan duri leper yang berbentuk 'Kubah'. Warna kulit luar hijau muda dengan sekata dari pangkal buah hingga kehujungnya. Buah akan mula dihasilkan selepas 3-4 tahun penanaman bergantung kepada jenis tanah, amalan agronomi dan pengurusan kebun. Buah yang masak akan mengeluarkan bau yang agak kuat.  Belum banyak lagi petani menanam varieti CH35 kerana baka ini adalah baka yang dianggap sebagai baka baru.


Isi buah cepmedak CH35 berwarna kuning pucat hingga oren dengan kod warna Orange group 24B (Lihat foto sebelah).  Cempedak ini mempunyai jerami yang tidak banyak dan jeraminya berbentuk tirus. Bilangan isi lazimnya sekitar 40 ulas dengan setiap ulas adalah besar dan isinya sangat tebal. Kadar kiraan nisbah tebal isi kepada ulas adalah tinggi iaitu pada kadar 83.6%. Ini bermakna cempedak ini sangat sesuai untuk dimakan segar dan juga sesuai untuk dijadikan sebagai 'cempedak goreng'. Mengambil beberapa ulas sahaja isi cempedak ini rasanya kita sudah puas makan.  Tahap kemanisan buah adalah sederhana berbanding dengan varieti lain iaitu pada kadar gula  30%. Istimewanya cempedak ini kerana tidak ada rasa tanin dan rasa kemasaman pada buah seperti varieti lain. 


Cempedak ini juga mempunyai kadar 'biji kesep' yang banyak. Jadi kalau kita makan buah cempedak varieti ini memanglah dikatakan sangat berpuashati kerana banyak buah tanpa biji.  Biji yang ada dalam buah juga bersaiz sederhana dan ada yang besar. Kulit biji berwarna coklat (kod warna greyed orange 174A) dengan bentuk biji yang tidak seragam. Kulit testa biji agak nipis dan kadang-kadang telah keluar embyro seperti akar berwarna putih pada buah cempedak yang cukup matang. Biji ini mudah digunakan untuk ditanam dalam nurseri bagi penyediaan bahan pokok penanti (rootstock) pembiakan baka. Kepada mereka yang berminat boleh rebus biji cempedak dan dimakan sebagai 'dessert' yang mempunyai rasa lemak.  Kepada mereka yang suka makan cempedak dan hendak tanam cempedak jenis ini boleh mendapatkan benih daripada nurseri tempatan dan pastikan telah mendapat pengesahan varoeti melalui Skim Pengesahan Benih Tanaman Jabatan Pertanian. 


CEMPEDAK CH 35.....MEMANG VARIETI BARU.....
BUAHN YANG MASAK....MEMANG BERBAU....
ISINYA TEBAL...MANISNYA TAK MACAM MADU... 
TANAM SENDIRI...KENA CARI BENIH DULU...


By,
M Anem
PJTP Plantation, Ulu Tiram, 
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(21 Jamadil Awal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...