Support My Blog

Wednesday, December 12, 2012

DURIAN : KALENDAR DURIAN

DURIAN  (Durio zibethinus Murr) merupakan raja segala buah yang mempunyai kalendar mengeluarkan bunga dan buah secara bermusim setiap tahun. Kalendar musim durian akan disediakan oleh pihak tertentu dinegara terlibat untuk dijadikan panduan bagi rujukkan oleh penanam, peraih, pengumpul, penjual dan pengekspot buah durian didalam perancangan pengendalian lepas tuai buah durian. Buah durian yang bermusim ini menyebabkan buah ini hanya popular dan dimakan (Consumed) oleh  masyarakat dikawasan Asia Tenggara sahaja kerana buah durian mudah rosak serta memerlukan kos tinggi untuk pasaran ekspot. Kalendar musim durian berbeza mengikut iklim sebuah negara lokaliti. Di Malaysia, Thailand dan Indonesia yang banyak menanam durian, lazimnya masa untuk pengeluaran bunga dan buah tidak sama. Pokok durian sesuai ditanam serta boleh menghasilkan buah jika berada diantara garisan latitude 10 - 18 darjah di hemispere Utara dan Selatan. Paling istimewa adalah dikawasan latitude 10 darjah daripada garisan khatulistiwa yang mampu berbuah lebih dari dua kali (Malaysia sehingga 3 kali) setahun seperti di Malaysia dan Indonesia. Artikel subuh Ahad ini saya menulis kalendar buah durian dalam 'Anim Agro Technology' berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan pembacaan dari beberapa buah buku teknikal untuk rujukan dan bacaan anda semua yang ingin tahu teknologi durian.

Kalendar Musim Durian berbuah berbeza mengikut garisan latitude sesuati lokasi (Rujuk rajah di atas yang saya sediakan). Paling utara adalahnegara India (18 - 8 darjah utara) yang mana buah durian akan keluar dari bulan pertengahan Jun hingga pertengahan September. Rajah tersebut saya telah membuat rujukkan daripada kalendar yang disediakan oleh Watson, 1978 dalam buku terbitan CABI International yang berjudul 'Durian - King of Tropical Fruit' karangan Suranan dan Sichol. Negara Myanmar (18 - 10 darjah Utara : saya pergi pada November 2011) mengeluarkan buah durian diantara bulan Mei - September setiap tahun. Negara Thailand (10 - 6 darjah utara) pula merupakan negara yang luas menanam durian dimana Thailand lazimnya mampu  mengeluarkan buah durian dari bulan Mac -  September. Thailand merupakan negara yang mempunyai jangkamasa paling lama durian dikutip iaitu selama 7 bulan walau pun kalendar pengeluarannya bergerak mengikut lokasi daripada selatan ke utara negara tersebut.


Negara Filipina mempunyai dua jenis jadual kalendar mengikut kedudukkan zon pulau di utara dan Selatan. Di Utara Filipina seperti kawasan kepulauan Luzon (15 - 12.5 darjah utara), biasanya musim buah durian keluar dari Ogos hingga September setiap tahun. Di Selatan Filipina pula seperti di Mindanao (9 - 6 darjah Utara) pokok durian akan berbuah dari bulan Januari hingga pertengahan Febuari dan dari bulan November hingga Disember iaitu dua kali setahun. Di Papua New Guinea (PNG) yang terletak 5 - 7 darjah selatan mengeluarkan buah durian daripada bulan April hingga Jun. Sementara itu negara paling selatan dan terkini menanam pokok durian komersil iaitu di Queensland, Australia Utara (10 - 18 darjah Selatan) didapati musim buah duriandari Mac sehingga pertengahan Mei setiap tahun.  Kajian di Kamerunga Horticulture Research Station, Australia Utara juga mendapati pokok durian tumbuh cergas sepanjang tahun kecuali pada bulan Jun - Ogos sebab cuaca yang agak dingin. Pengeluaran durian di Indonesia sekitar pulau Jawa (6 - 8 darjah Selatan) sebanyak dua kali setahun iaitu musim pertama dari Januari - Febuari dan musim kedua dari Oktober hingga Disember. Kawasan Indonesia yang berhampiran atau sama latitude dengan Malaysia seperti Sumatra dan Kalimantan mempunyai 'pattern' hampir sama dngan Malaysia.


Kalendar Pengeluaran Buah Durian di Malaysia (kedudukan 7 - 2 darjah Utara) mempunyai 3 kali setahun. Musim pertama durian keluar di Malaysia pada bulan Januari hingga Febuari dan musim kedua lazimnya dari bulan Jun hingga September sementara musim ketiga dari bulan November hingga Disember. Dalam setahun Malaysia mempunyai jangkamasa kutipan buah durian sehingga hampir 8 bulan pengeluaran durian walau pun jumlah pengeluarannya sedikit sahaja pada luar musim (musim pertama dan musim ketiga). Musim kedua penghasilan durian di Malaysia adalah dari bulan Jun hingga September iaitu merupakan musim kemuncak. Masa ini pengeluaran durian memang banyak dimana ia juga dikaitkan sebagai 'Durian Runtuh' setiap tahun di Malaysia. Begitulah kalendar pengeluaran buah durian yang saya telah rangkumkan dalam Anim Agro Technology kali ini untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita mengenai Raja Segala Buah Tropika. Wasallam!

KALENDAR DURIAN... BERBEZA MASANYA...
INDIA DIUTARA... AUSTRALIA SELATANNYA..
DI MALAYSIA PULA ... 3 KALI MUSIMNYA...
BUAH DURIAN ... MARI MENIKMATINYA...

By,
M Anem
Presint 11, Putrajaya,
Malaysia
(25 Muharram 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...