Support My Blog

Saturday, February 9, 2013

MESTA

MESTA (Garcinia mangostana) merupakan sejenis buah-buahan tropika daripada kumpulan Manggis. Buah Mesta ini mungkin tidak ramai kita yang kenal secara tepat kecuali petani pemilik pokok dan pegawai pertanian dikawasan Temerloh , Pahang. Mesta sebenarnya berlainan dengan buah manggis dari beberapa ciri khusus. Sekilas pandang, mereka yang tidak kenal akan buah ini akan mengatakan bahawa buah yang digantung tersebut adalah manggis. Ini kerana warna, bentuk dan rasanya mungkin serupa bagi mereka yang tidak kenal akan buah ini. Buah mesta ini mungkin natif dari kawasan kampong tradisional sepanjang Sungai Pahang dan hingga kini belum disebar luas keseluruh negara. Bagaimana pun permintaan untuk anakbenih mesta adalah tinggi dimana harganya mencecah sehingga RM 15.00 - RM 20.00 sepokok. Kalau ditanam di kawasan lain saya tidak pasti pokok tersebut akan mampu menghasilkan kualiti buah dan pokok seperti di tempat asalnya di Termerloh kerana faktur tanah dan Agro-iklim . Artikel petang Sabtu ini saya sempat menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah mesta walau pun saya amat sibuk menguruskan majlis perkahwinan anak lelaki saya siang tadi. Maklumat ini ditulis dengan berdasarkan pembacaan, pemerhatian persendirian penulis dan perbualan dengan beberapa individu yang tahu mengenai tanaman buah mesta.  


Mesta agak berbeza dengan pokok manggis dari segi struktur buah, pokok, saiz dan beberapa ciri lagi. Mengikut perbincangan saya dengan Pembantu Pertanian daripada Pusat Pertanian Kg Awah, beliau nyatakan pokok mesta lazimnya kecil sedikit dan rendah berbanding dengan pokok manggis. Terdapat banyak daun yang lebat dan ianya rimbun dengan saiz daun agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan pokok manggis. Lebih banyak jumlah dahan pada pokok mesta. Buah mesta berbentuk BULAT LONJONG dimana dibahagian bawahnya agak tajam sedikit dan bukan berbentuk 'bulat dempak' seperti buah manggis (Lihat foto paling atas). Jika dilihat isinya, mesta mempunyai susunan ulas yang hampir sekata dimana tidak ada yang berbiji besar seperti buah manggis. Lazimna ia mempunyai 6 ulas isi berwarna putih bersih dengan rasa amat manis. Paling istimewa mengenai mesta ini saya rasa kerana ia tidak mempunyai getah yang boleh mengotorkan tangan atau baju walau pun buah mesta baru dipetik. Saya amat suka akan buah mesta ini yang dipetik dari pokok disekitar kawasan dusun mesta di Temerloh apabila musim tiba. Harga buah mesta mungkin agak tinggi sedikit atau pun sama dengan buah manggis.   


Buah Manggis (Lihat foto sebelah) lazimnya berbentuk BULAT atau BULAT LEPER dengan buahnya yang bersaiz lebih besar. Manggis mengeluarkan getah semasa dipetik dan ia akan melekat pada tangan dan lebih dahsyat lagi jika terkena baju, jawabnya kekal warna getah pada baju. Saiz buah manggis lazimnya agak lebih besar daripada mesta dengan mempunyai 5 -6 ulas isi yang berwarna putih krim (Mesta warnanya putih bersih). Dalam buah manggis sering terdapat 1 atau 2 ulas isi yang mempunyai biji yang besar. Dari segi teori, saya fikir agak mudah untuk mendapatkan biji buah manggis bagi dijadikan pokok penanti anakbenih tanaman manggis berbanding dengan usaha untuk mendapatkan biji benih mesta. Kalau benih mesta dijual mahal pun jangan komplen, ini kerana didapati memang sukar untuk kita mendapatkan anakabenih tersebut. 


Beberapa kampong sepanjang Sungai Pahang di Daerah Temerloh seperti Kampong Bintang, Kg Badok, Kg Kuala Ira, Kg Purun, Kg Paya Salak, Kg Berhala Gantang, Kg Berhala Mandi, Kg Sawar dan Kg Teluk Sentang merupakan kawasan susun tradisional campuran yang banyak ditanam pokok durian dan manggis terutamanya buah manggis varieti Mesta (Lihat foto sebelah). Pokok ini ditanam bersama-sama dengan pokok durian, pisang, duku, langsat, rambutan, nangka, cempedak dan sebagainya didalam satu jenis dusun iaitu dusun campuran. Pengurusan dijalankan secara konvensional sehingga kurang menggunakan bahan kimia dimana hasil buah-buahan tersebut boleh di pasarkan dengan label 'Buah Organik' jika ada mereka buat permohonan untuk persijilan Skim Organik Malaysia diamalkan. Kepada mereka yang ingin mengetahui mengenai hebatnya buah mesta boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri Pahang atau Pegawai Pertanian di Stesyen Pertanian Hortikultur, Kg Awah, Temerloh , Pahang. Wasallam!.
Pokok Mesta di Stesyen Pertanian Bukit Goh, Kuantan
berumur 2 tahun lebih telah pun berbuah.
BUAH MESTA ... SEDAP ISINYA...
MACAM MANGGIS... LAIN RUPANYA...
BENIH MAHAL..SUKAR MENDAPATNYA...
KEMPUNAN?... KETEMERLOH JAWABNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Cendana
Jalan Istana
Persimpangan Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(21 RabiulAwal 1434H)

TERIMAKASEH KEPADA SEMUA SANAK SAUDARA
DAN RAKAN-RAKAN YANG SUDI HADIR KE MAJLIS
PERKAHWINAN ANAK LELAKI SAYA PADA HARI INI
DI DEWAN BESTARI, AIR KEROH, MELAKA PADA
JAM 11.00 PAGI - 4.00 PETANG 9 FEBUARI 2013. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...