Support My Blog

Saturday, March 23, 2013

DURIAN - PENJARANGAN BUNGA DAN BUAH

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan 'Raja segala buah Tropika' kerana apabila buah ini keluar, maka pemasaran dan permintaan buah tropika yang lain akan terjejas. Pokok durian berbunga dan berbuah mengikut musim setiap tahun dan ia bergantung kepada faktur cuaca, pengurusan agronomi tanaman dan juga persekitaran pokok. Kadang-kadang jumlah bunga dan buah durian sangat banyak dikeluarkan pada satu musim dan pada musim berikutnya dimana ianya mungkin berkurangan atau tidak keluar langsung pada tahun atau musim berikutnya. Di Malaysia dan Thailand serta beberapa lokasi di Indonesia, waktu pembungaan puncak lazimnya pada bulan April - Jun setiap tahun. Pada pemerhatian saya, selain daripada pengurusan dan amalan agronomi tanaman durian yang mesti dijalankan seperti pembajaan, kawalan rumpai, kawalan perosak dan penyakit dan pengairan, kini aktiviti Penjarangan Bunga dan Buah (Flower and Fruit Thinning) perlu dipraktikkan oleh penanam durian komersil sebagai satu amalan agronomi yang penting. Amalan ini memang amat kurang di buat di negara kita kerana sifat semulajadi pokok durian tradisional yang amat tinggi dan aktiviti penjarangan bunga dan buah ini sukar untuk dijalankan. Bunga yang mekar kembang akan menjadi putik buah dan bergantung kepada faktur pendebungaan dimana selepas itu, putik ini akan  menjadi buah muda dan seterusnya buah akan masak lalu gugur. Buah durian yang gugur akan dikutip sebagai hasil terutama dari pokok-pokok durian kampong baka 'DBK" iaitu singkatan kepada 'Durian Baik Kampong'. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" amalan agronomi berkaitan dengan penjarangan bunga durian dan buah durian untuk kita dapat menghasilkan buah berkualiti sehingga sesuai dan menepati kriteria untuk pasaran ekspot dan juga domestik. 


1. Penjarangan Bunga Durian
Secara umumnya, pokok durian yang sihat akan berbunga sebanyak 3 peringkat dalam setahun atau semusim. Di Thailand, bunga yang keluar pada peringkat pertama dan ketiga selalu dibuang dan bunga peringkat kedua dibiarkan untuk menjadi buah yang akan menjadi hasil. Bergantung kepada umur dan saiz pokok durian, lazimnya bunga durian pusingan pertama akan gugur jika jumlahnya terlalu banyak akibat persaingan air dan nutrien secara semulajadi. Aktiviti untuk membuang bunga ini dijalankan untuk menghadkan bilangan buah yang akan terbentuk jika proses pendebungaan pada tahap optima. Hanya pokok durian yang sederhana ketinggiannya boleh dibuat penjarangan bunga dan putik buah. Aktiviti cantasan pembentukkan dan cantasan dewasa (Topping) pokok durian bagi klon-klon terpilih sangat penting untuk dilaksanakan. Pokok sederhana tinggi atau rendah mampu dibuat aktiviti penjarangan buah dan putik dengan menggunakan tangga atau panjat dimana sesuai.  


2.  Penjarangan Putik Buah
Penjarangan putik buah atau buah muda durian perlu dibuat untuk menghadkan bilangan buah durian pada setiap pokok. Penjarangan putik buah durian membantu mengurangkan kos bahan kimia dan juga kurangkan kadar serangan perosak serta memudahkan kerja-kerja kawalan perosak diladang. Bilangan buah yang ditinggalkan mengikut saiz pokok dan dahan dimana jika dahan bersaiz besar dengan berada di bahagian bawah, buah boleh berada sehingga dihujong dahan. Bagi dahan bersaiz kecil yang berada tinggi pada bahagian atas pokok pula, buah digalakan berada berdekatan dengan batang pokok. Ini bagi  mengelakan himpunan buah durian yang banyak dan boleh menyebabkan dahan akan menjadi patah atau sekah. Kajian menunjukkan pokok durian sihat yang berumur lebih 10 tahun dibenarkan mempunyai bilangan buah sebanyak 50 - 150 biji sahaja untuk mendapatkan kualiti buah yang baik pada satu-satu masa . Apakah dia ciri-ciri kualiti bagi buah durian yang baik?. Baca artikel saya mengenai durian seterusnya.... 


3. Penjarangan Buah Durian
Penjarangan buah (fruit thinning) perlu dibuat dua kali setiap musim. Aktiviti Penjarangan Pertama boleh dibuat 30 - 35 hari selepas berbunga iaitu apabila putik durian sebesar limau nipis (lime). Putik buah durian yang bentuknya tidak normal, berpenyakit, rosak diserang perosak, kecil dan kedudukanya yang rapat perlu dibuang. Jumlah putik yang perlu dibuang bergantung kepada varieti durian, umur durian, jumlah putik dan kesuburan pokok durian tetapi perlu ingat tinggalkan tidak lebih dari 2 biji setiap kluster buah. Hasil kajian yang dibuat di Rayong, Thailand terhadap varieti Chanee mendapati, pokok durian yang berumur 15 tahun menghasilkan sebanyak 50,000 - 60,000 kuntum bunga sepokok. Jika tidak dibuat penjarangan, hasilnya adalah sebanyak 20% buah yang bersaiz besar, 40% bersaiz sederhana dan bakinya 20% bersaiz kecil. Purata  bagi keseluruhan berat buah ialah 1.5 kilogram sebiji. Sebagai perbandingan, apabila pokok yang sama dibuat penjarangan saiz purata buah menjadi 2.7 kilogram sebiji. Kajian selanjutnya menunjukkan jika hanya ditinggalkan 60 -70 biji buah sepokok, purata berat buah mencecah 5.0 kg sebiji!... Amboi besarnya buah durian itu. Varieti Kan You pula dibuat penjarangan dimana untuk psaran ekspot dibiarkan sebanyak 60 biji buah sahaja sepokok. Teknologi penjarangan buah durian ini telah ada petani di Malaysia yang mengamalkannya terutama pemilik pokok durian varieti D197 atau nama biasanya 'Raja Kunyit' atau nama popularnya 'Musang King' dibeberapa kawasan Gua Musang dan di Kg Tras, Bentong , di Pahang. Wallahualam!


Durian Chanee di Chantaburi seberat 6.5 kg.
MENJARANG BUAH ... BOLEH DILAKSANAKAN...
BUAH YANG SEDIKIT... KUALITI DITINGKATKAN... 
JANGANLAH SAYANG... PUTIK DIKURANGKAN...
MACAM MANA CARA... NANTI DIJELASKAN....

By,
M Anem
Room D-05, Hotel Idaman,
Jalan Utama,
Gua Musang,
Kelantan, 
Malaysia.
(23 March 2013).      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...