Support My Blog

Friday, May 31, 2013

POKOK PECAH BELING

POKOK PECAH BELING (Strobilanthes crispus) adalah sejenis tumbuhan kategori Herba dikenali juga dengan pelbagai nama lain seperti Pecah Kaca, Bayam Karang, Ngo Kilo, Keji Beling dan Jin Batu. Ia merupakan tumbuhan herba yang dipercayai natif dari Madagascar hingga ke Malaysia. Pokok pecah beling adalah dari keluarga Acanthaceae dimana saya dapati ia amat mudah ditanam dikawasan keliling rumah sama ada atas tanah atau dalam pasu. Saya masih mempunyai 2 pasu pokok ini hasil pemberian Hj Adnan (PPN Johor). Tumbuhan ini hidup subur di kawasan-kawasan lapang atau belukar dan selalu dilihat sebagai rumpai atau tumbuhan yang tidak diingini. Tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan ubatan yang dikenali sebagai "Pecah Kaca” dalam bahasa Melayu kerana saya dapati bunyi daunnya apabila dihancurkan menyerupai bunyi seperti kaca yang dipecahkan. Ia juga mudah didapati di tebing sungai dan dipadang padang terbiar. Mungkin ia amat mudah dikelirukan dengan spesies lain Cusia strobilanthes atau Assam Indigo. Kedua-duanya kelihatan serupa tetapi perbezaan utama adalah pada warna bunga. Assam indigo menghasilkan bunga berwarna ungu manakala Pecah Beling menghasilkan bunga berwarna kuning, Walau bagaimanapun, ia amat jarang menghasilkan bunga sepanjang tahun. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan pecah beling yang dikatakan banyak khasiat.


Pokok Pecah Beling yang saya nampak mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan ukurlilit batang sekitar 0.2 - 0.7 cm.  Kulit luar batang seakan berwarna ungu dengan bintik-bintik hijau dan apabila batang menjadi tua berubah menjadi coklat. Pokok pecah beling boleh mencapai ketinggian sehingga 2.0 meter jika tidak dicantas dengan baik dan mampu tumbuh merimbun atau banyak dahan. Selain dipercayai ia boleh dijadikan ubat, pokok pecah beling juga ditanam sebagai tanaman landskap penyeri dihalaman rumah . Tumbuhan ini amat mudah berkembang biak pada tanah subur walau pun ia agak terlindung apa laagi kalau di tempat terbuka. Daun bujur-meruncing berbentuk agak bulat dihujung (obtuse) dengan garis cetek tidak lurus (crenate-crispate). Bahagian tepi daun saya dapati ia bergerigi dengan jarak agak jarang serta berbulu halus hampir tidak kelihatan. Panjang helaian daun (tanpa tangkai) antara 5.0 – 8.0 cm (ukuran normal) dengan lebar daun kira-kira 2.0 – 5.0 cm. Permukaan daun agak kesat dan berbulu. 


Didalam banyak rujukkan yang saya baca, didapati secara tradisinya daun pecah beling telah digunakan sebagai ubat untuk masaalah diuretik, antidiabetik, antilytic dan juga julap. Banyak kajian dijalankan dan telah dibuktikan secara saintifik bagi menimbulkan aktiviti antioksidan yang tinggi, anti-AIDS, dan sifat-sifat anti-kanser. Khasiat dari tumbuhan ini biasanya diambil dalam bentuk minuman teh herba. Kajian makmal juga mendapati yang ekstrak daun ini memang telah disahkan  mengandungi flavonoid seperti quercetin, naringenin dan kaempferol. Walau bagaimanapun, flavonoid yang dikesan dalam ekstrak daunnya berbeza kerana kaedah atau cara pengekstrakan. Daun pokok pecah beling banyak digunakan dalam perubatan tradisional seperti merawat kanser, kencing manis serta batu karang. Ia digunakan juga sebagai agen diuretik.  Ekstrak air pecah beling mempunyai kompoun atau molekul yang boleh merencatkan pertumbuhan retrovirus iaitu sejenis agen dalam jangkitan virus seperti sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan mampu merencatkan pertumbuhan sel leukemia. Kajian di UPM mendapati daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti Kalium, kalsium, natrium, ferum, fosforus serta vitamin C, B1 dan B2. Terdapat juga kandungan bahan kafeina dalam daun pecah beling tetapi ianya rendah. Kandungan ini merupakan penyumbang kepada antioxidant yang sangat tinggi. Selain dari itu ekstrak pecah beling secara in vitro (tisu kultura) mampu membunuh sel kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada dengan mengaruh sel ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Ekstrak ini juga mampu memendamkan gen penyebab kanser dan sekali gus mengurangkan risiko kanser. 


Antara lain kegunaan secara perubatan pokok pecah beling berupaya mengubati penyakit kencing manis kerana ekstrak air daun pecah beling dikatakan berkesan sebagai agen antidiabetis. Ekstrak ini tidak mempunyai kesan ke atas paras gula darah yang telah diuji pada tikus normal, tetapi mampu untuk meningkatkan paras jumlah antioksida (total antioxidant level). Peningkatan paras jumlah antioksidan (total antioxidant level) dalam darah adalah penting untuk melindungi badan daripada radikal bebas. Ekstrak ini sesuai bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, tetapi juga untuk mereka yang normal bagi tujuan pencegahan. Selain dari itu pecah beling didapati mampu menghancurkan batu yang terdapat dalam hempedu di buah pinggang. Tumbuhan ini juga berupaya menurunkan kolestrol dalam badan dan melancarkan pembuangan air kencing jika diamalkan pengambilannya. Pastikan anda mengambil mengikut kadar yang betul. 


Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM), didapati daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%), kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya juga mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi berbanding tumbuhan herba lain iaitu banyak bahan yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga mengandungi kafeina (Caffein) tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua kandungan yang dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan (total antioxidant activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan yerbamate (sejenis teh herba - Klik artikel saya disini) dan vitamin E (alfa-tokoferol). Bagi kajian antikanser pula, kajian pra-klinikal telah dijalankan untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in-vitro (kultur tisu) dan in-vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada. Ekstrak ini mampu membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Di samping itu, ekstrak pecah beling ini juga mampu untuk memendamkan gen penyebab kanser, sekali gus mengurangkan risiko dan perebakkan kanser. Bagi kajian haiwan pula, ekstrak air pecah beling pada kepekatan 2.5% dan 5% mampu untuk mengurangkan kanser hati dari menjadi lebih serius bagi tikus yang dijangkiti kanser hati.


Daun kering Strobilanthes crispus mengandungi sejumlah abu yang tinggi (21.6%)hasil daripada jumlah tinggi mineral termasuk kalium (51%), kalsium (24%),natrium (13%), ferum (1%), dan fosforus (1%). Kandungan tinggi vitamin larut air(C, B1, dan B2) menyumbang kepada aktiviti antioksida yang tinggi dari daun. Bahagian daun juga mengandungi angaran kasar sejumlah komposisi sederhana sebatianlain seperti catechin, alkaloid, kafein dan tanin, menyumbang lagi kepada jumlahaktiviti antioksida. Catechins dari daun Strobilanthes crispus menunjukkan aktiviti antioksida yang tertinggi berbanding Yerbamate dan vitamin E. Strobilanthescrispus telah digunakan secara tradisional sebagai antidiabetik, diuretik, antilytic,dan julap dan telah dibuktikan secara saintifik mempunyai aktiviti antioksida tinggi,anti-AIDS dan sifat antikanser. Ia biasanya dimakan dalam bentuk teh herba dimana kandungan antioksidan dan polifenol yang hadir dalam ekstrak mungkin boleh menyumbang kepada ciri-ciri seperti antihyperglycemic dan antilipidemic.


Penggunaan ekstrak daun setiap hari (5 gram sehari) sebagai teh herba boleh menyumbang kepada nutrien tambahan dan antioksida yang diperlukan badan untuk meningkatkan sistem pertahanan. Perkara ini terutamanya ke arah insiden penyakit-penyakit degeneratif dan untuk melindungi hati terhadap hepatocarcinogenesis. Dos yang dicadangkan sebanyak 5 mg sehari yang diambil daripada daun kering dibancuh dalam satu cawan air panas mendidih sama seperti meminum teh biasa. Kesimpulannya. pokok pecah beling yang tumbuh melata di kawasan kebun atau belukar dan dianggap tumbuhan rumpai yang tidak diperlukan, sebenarnya adalah tumbuhan herba yang sangat berkhasiat yang terdapat disekeliling kita. Tidak akan menjadi kemudaratan jika kita menggunakan tumbuhan ini sebagai alternative untuk perubatan walau pun kajian secara klinikal (human study) belum benar-benar dijalankan keberkesanannya terhadap pesakit kanser, diabetes atau batu karang.

Sumber Rujukkan:
1. http://herbadantumbuhan.blogspot.com/2012/06/pecah-beling-strobilanthes-crispus-ubat.html
2. https://en.wikipedia.org/wiki/Strobilanthes_crispa
3. http://www.doa.gov.my/c/document_library/get


PECAH BELING ... PECAH KACA...
HERBA TEMPATAN...KENA CUBA...
MUDAH DITANAM...DIMANA-MANA...
KHASIAT HERBA...SIHAT SENTIASA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya
Malaysia
(12 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...