Support My Blog

Sunday, June 23, 2013

IKAN SEPAT - POTENSINYA

IKAN SEPAT (Trichogaster spp) merupakan sejenis ikan air tawar yang popular di kawasan Asia Tengara dan beberapa negara lain sebagai ikan yang dimakan dan juga untuk akuarium. Ikan Sepat merupakan dari kumpulan Ikan Gourami yang dianggap antara spesis yang kadang-kadang ada dipelihara dalam akuarium  terutama beberapa jenis seperti ikan sepat seperti sepat mutiara. Terdapat beberapa jenis ikan sepat yang saya kenal seperti jenis ikan Sepat Siam (Trigchogaster pectoralis) ,ikan  Sepat Rawa (Trichogaster tricopterus) dan ikan Sepat Mutiara (Trichogaster leeri). Spesis sepat mutiara dikatakan sebagai spesis yang sukar dipelihara untuk dimakan tetapi ada dikalangan kita ada yang berpendapat bahawa spesis itu yang tidak ada nilai komersil. Pada zaman dulu, ikan sepat ini memang banyak didapati dikawasan sawah padi tetapi sekarang ia sudah pun berkurangan atau hampir pupus kerana penggunaan banyak bahan kimia dalam sawah padi. Peranan ikan sepat dalam habitat semulajadi penting untuk kita dapat menentukan kualiti air dan nilai alam sekitar. Bagaimana pun pada masa ini terdapat beberapa pemilik akuarium yang berminat untuk memelihara ikan sepat kerana keunikannya selain semakin sukar untuk ditemui di parit, taliair sawah atau kolam yang sebelum ini menjadi habitat utama ikan sepat. Dalam saya membuat beberapa rujukkan mengenai ikan sepat diperingkat antarabangsa, dilaporkan bahawa terdapat empat jenis ikan sepat yang kenalpasti iaitu Jenis Honey Gourami (Colisa chuna), Dwarf Gourami (Colisa lalia), Pearl Gourami (Trichogaster leeri) dan Blue Gourami (Trichogaster trichopterus)Setiap spesis menampilkan sifat fizikal berlainan dan memiliki daya tarikan tersendiri kerana kini sudah ramai peminat ikan mula untuk mengumpul spesis ini yang boleh pun dianggap semakin pupus. Mungkin ramai yang tidak mengetahui memelihara ikan ini boleh dianggap mudah berbanding spesies lain. Ini kerana ia dianggap ikan lasak dan tidak memerlukan penjagaan terlalu rapi serta mudah hidup. Artikel pada subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi dan juga khasiat ikan sepat serta teknologi mengenainya untuk rujukkan anda semua.


Kita mulakan perbincangan dengan membuat anggaran nilai harga ikan sepat untuk akuarium. Survei yang saya buat di Melaka dan Muar telah mendapati, terdapat beberapa kedai akuarium menjual ikan sepat hiasan sekitar RM 2.50 - RM5.00 seekor bergantung kepada saiz dan keunikannya. Ditanya mengenai kadar jualan dan permintaan, seorang pemilik kedai tersebut Encik Tan menyatakan, kini telah ramai peminat ikan sepat dipelihara dalam akuarium (Lihat foto akuarium sepat disebelah). Mereka membeli ikan sepat kerana ia semakin bernilai akibat kepupusannya. Pemilik Kedai tersebut menjual semua 3 jenis ikan sepat dimana katanya kesemua jenis ikan sepat ini memiliki tabiat seperti cara pemakanan, pembiakan, kesesuaian untuk pencahayaan, cara penyediaan akuarium serta tabiat renangan yang hampir sama. Katanya memang agak mudah untuk memelihara ikan sepat berbanding dengan ikan hiasan yang lain dimana ia hanya cuma memerlukan penjagaan minimum. Saya dimaklumkan yang spesis ikan ini memang suka bahan makanan ikan komersil sama ada dalam bentuk butiran atau kepingan tipis. Ikan ini disifatkan tidak terlalu memilih dalam pemilihan makanan. Ikan sepat juga mudah membiak secara bertelur dimana ia cukup selesa dengan akuarium yang gelap sedikit dengan kadar pencahayaan matahari yang agak kurang. Ikan ini bukan jenis pemangsa (Non-predator) dimana ia mesra dan sesuai dicampur dengan ikan-ikan lain. Landskap akuarium yang sesuai ialah dengan cara memasukkan tumbuhan air secara padat disusun rapi.


Ikan Sepat Kering adalah diantara satu produk dari ikan sepat yang amat popular dan diminati ramai (Lihat foto sebelah). Selain ia untuk dimakan segar (digoreng atau dibuat gulai), ikan sepat juga ada yang di buat jeruk pekasam (Ada dijual banyak di pasar Rabu, Alor Setar). Ikan sepat kering adalah bahan makanan yang disukai oleh masyarakat Malaysia dan Indonesia. Ikan sepat jenis Sepat Siam yang telah pun dikeringkan merupakan ikan sepat paling popular dan enak dimakan kerana ia mempunyai isi yang lebih tebal berbanding sepat rawa. Dalam membuat kajian dan rujukkan, saya dapati setiap 100 gram Ikan Sepat Kering didakwa mengandungi tenaga sebanyak 290 kilokalori, protein 38 gram, karbohidrat 10 gram, lemak 14 gram, kalsium 40 miligram, Posforus 100 miligram dan zat besi 1 miligram. Selain itu terdapat juga beberapa jenis vitamin walau pun sedikit. 


Dalam saya menganalisis mengenai kandungan zat permakanan ikan, ikan air tawar juga mengandungi 'protein ikan' dimana ia sangat dipengaruhi oleh kadar air dan lemaknya. Lazimnya kadar kandungan protein kolagen pada ikan jauh lebih rendah daripada daging haiwan ruminan iaitu sekitar antara 3-5 peratus dari jumlah keseluruhan protein. Ini juga yang merupakan salah satu faktor yang menyebabkan isi daging ikan akan menjadi lebih lembut atau lebih empuk yang menyebabkan daging ikan lebih mudah dicerna. Nilai cerna protein ikan sangat tinggi (lebih dari 90 persen) dimana ia juga sangat mudah dicerna oleh perut bayi. Ikan dapat digunakan sebagai sumber protein yang baik bagi bayi. Lemak ikan air tawar juga sangat sedikit kandungan kolesterol. Hal ini sangat baik untuk menjaga kesihatan. Ikan air tawar seperti ikan sepat juga mengandungi sejumlah vitamin dan mineral yang seimbang. Vitamin yang banyak terdapat pada ikan adalah jenis larut lemak (vitamin A dan D). Sementara itu kandungan bahan mineral yang lebih dominan adalah seperti unsur Kalsium, Posforan, Iodin, Besi dan Selenium. Zat-zat tersebut memang bermanafaat untuk mencegah berbagai penyakit degeneratif dan akibat kekurangan zat makanan mikro. Diharap artikel ini memberikan ilmu kepada anda semua. Wasallam!

IKAN SEPAT... IKAN TEMPATAN...
KAWASAN SAWAH... ADA IKAN...
DALAM AKUARIUM... CANTIKKAN...
SEPAT KERING... ENAK DIMAKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist
F-8-2, Glory Beach Resort,
Port Dickson,
Negeri Sembilan
Malaysia
(3 Syaaban 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...