Support My Blog

Thursday, January 22, 2015

MAHKOTA DEWA - HERBA BERGUNA

POKOK MAHKOTA DEWA (Phaleria Macrocarpa (Scheff.) merupakan tumbuhan jenis herba yang semakin dikenali ramai di Malaysia kerana khasiat perubatannya. Tumbuhan ini juga amat mudah ditanam dikawasan keliling rumah terutama mereka yang tinggal dikampong atau dikawasan taman perumahan yang ada kawasan sesuai. Ramai juga saya lihat mahkota dewa ditanam dalam pasu besar. Pokok Mahkota Dewa dipercayai berasal dari Papua dan Irian Jaya. Tumbuhan renek yang mudah dijaga ini termasuk di dalam keluarga Thymelaecae. Pokok ini mempunyai dahan yang bercabang-cabang berkembang dan tumbuh sepanjang tahun. Apa yang seronok kita lihat adalah tumbuhan herba ini amat rajin berbunga dengan bilangan bunganya amat banyak. Pengurusan amalan agronomi yang baik dengan sering memberikan baja organik membolehkan pokok mahkota dewa hidup subur dan banyak berbuah. Buahnya yang lebat dianggarkan 60 biji sepokok pada satu musim berbuah. Rakan saya yang menanam 3 pokok dibelakang rumahnya di Mersing memberitahu, setiap minggu dia boleh memetik sebanyak 1-2 kg buah mahkota dewa yang matang untuk digunakan sendiri dan dijual kepada mereka yang mahu membelinya. Dalam lawatan saya ke Labis, terdapat seorang usahawan herba yang telah menanam seluas 1.5 ekar mahkota dewa untuk kegunaan kilang herbanya di kawasan perindustrian Labis. Menurutnya, penanaman mahkota dewa memerlukan penjagaan yang minimum dan banyak hasilnya tetapi isu yang dihadapi adalah mengenai siapa yang boleh membeli dalam kuantiti yang banyak. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman mahkota dewa sebagai herba berguna untuk bacaan dan rujukkan anda.


Ketinggian pokok mahkota dewa sekitar 1-2 meter bagi tempoh 5 tahun ditanam dan dijaga dengan baik. Bagaimana pun kadar pertumbuhan ini bergantung jenis tanah dan juga kepada penyelenggaraan pokok serta spesis pokok yang ditanam. Bahagian batang pokok ini lazimnya adalah bergetah terdiri dari kulit yang berwarna coklat kehijauan (Sila lihat foto disebelah). Jika dibuang kulitnya kita akan dapat lihat isi batang kayunya berwarna putih dan pokok ini mempunyai akar tunjang. Ianya sesuai ditanam di dalam pasu yang bersaiz agak besar dan dibuat cantasan sewajarnya untuk mengawal kadar berlaku pertumbuhannya. Bagaimana pun penanaman atas tanah adalah cara terbaik menanam mahkota dewa. Kepada ramai penghuni kawasan bandar tanaman ini mebolehkan ia sesuai ditanam sebagai tanaman hiasan atau sebagai tanaman landskap dan ubatan. Benih mahkota dewa diambil dari biji matang yang disemai dahulu dan akan tumbuh dengan cepat dalam polibeg yang mengandungi media tanaman seperti tanam campuran atau cocopeat.


Herba Mahkota Dewa yang didakwa ramai memang mengandungi pelbagai khasiat untuk orang dewasa mahupun kanak-kanak dimana ia digunakan sebagai jenis ubatan. Khasiatnya berbeza mengikut bahagian seperti daun, biji, buah, batang/ranting dan akar. Secara umum khasiat mahkota dewa adalah ia dapat mengurangkan kandungan kolesterol dalam badan serta mengurangkan penambahan lemak di dinding pembuluh darah. Buah yang dikupas ini berwarna putih krim isinya dan boleh diambil (consumed) mengikut aturan yang betul (Sila lihat foto disebelah). Khasiat harba ini juga didakwa mampu menyingkirkan unsur racun atau bahan toksin daripada sesuatu bahan di dalam tubuh seterusnya dapat meneutralkan racun di dalam badan. Ini merupakan rahsia besar yang perlu diketahui oleh pembaca blog ini semua. Selain itu khasiat pokok itu didakwa berfungsi sebagai bahan anti-bakteria dan anti-virus. Ia juga dapat meningkatkan sistem ketahanan badan dan daya hidup dan dapat meningkatkan daya tahan kepada penderita diabetes dan darah tinggi. Kesan dari meminum teh mahkota dewa memang dapat dirasai dengan signifikan apabila diambil secara berjadual mengikut sukatan. Pastikan membuat pemeriksaan kesihatan sebelum dan selepas mengambil produk mahkota dewa diklinik melalui ujian darah.


Khasiat mahkota dewa juga dikaitkan dengan keupayaanya untuk mengurangkan kadar gula dalam darah dan pengumpulan darah. Ia juga membantu mengurangkan kadar angin dalam badan kepada mereka yang sentiasa ada angin dalam badan. Ia juga telah dikenalpasti sebagai bahan untuk anti-virus, anti-bakteria, anti-oksidan, anti- alergi dan anti-radang yang berkesan. Khasiat seterusnya adalah dapat membantu melancarkan peredaran darah di dalam badan dan mengelakkan berlakunya penyumbatan pada pembuluh darah. Seterusnya ia akan dapat membantu mengurangkan kesakitan taktakala berlaku pedarahan dan pembengkakan di tubuh badan. Mahkota dewa mampu mengurangkan kesan daripada penyakit jantung koroner  dan terkini didakwa ia berkebolehan mengubati dan mengurangkan penyakit kanser seperti kanser payudara dan kenser rahim.  Selain itu jika anda mengambil bahan ini akan meningkatkan stamina dan ketahanan badan tehadap influeza serta ia bertindak sebagai bahan bagi membantu proses penyembuhan penyakit seperti masaalah tekanan darah tinggi.


Selain daripada buah mahkota dewa, beberapa kajian juga dilakukan terhadap bahagian daunnya. Daun pokok ini adalah berbentuk lonjong, lansing, memanjang dimana hujungnya runcing, tepi daun rata, permukaan daun licin dan tidak berbulu. Daun ini juga boleh digunakan sebagai teh herba jika berminat kerana ia juga telah dikatakan berkhasiat selain dari buahnya (Sila lihat foto sebelah). Bahagian bunga mahkota dewa berwarna putih dan berbau harum. Bunga tersebut selalunya berukuran kecil menyerupai bunga cengkih. Buah Mahkota Dewa adalah tidak seragam kerana ianya bergantung kepada cara dalam penyelenggaraan pokok dan kelebatan buahnya. Buahnya berbentuk bulat dan tidak seragam antara satu sama lain. Buah berbentuk bulat, diameter 3-5cm, permukaan licin, beralur. Ketika masih muda, kulit buahnya berwarna hijau muda dan selepas 6 minggu, kulitnya mula berubah kepada warna merah muda. Kulit buahnya mula berubah warna dari warna merah muda kepada merah meron pada usianya 10-12 minggu selepas berputik. Isi buah mahkota dewa adalah berwarna putih, berserat dan berair. Buah mentah dikatakan merupakan bahagian tanaman paling beracun. Bentuknya bulat lonjong berdiameter sekitar 1cm yang berwarna coklat, bahagian dalam berwarna putih.


Proses mengeringkan mahkota dewa boleh dilakukan secepat mungkin selepas dituai. Jangkamasa pengeringan bergantung kepada bahagian mana yang dikeringkan pada suhu pengeringan sama ada menggunakan oven atau sinaran matahari. Selepas dikeringkan sebaiknya herba mahkota dewa disimpan dalam bekas kalis cahaya dan kalis udara dan serangga supaya ianya tidak rosak atau mudah pudar dan aromanya berubah. Beberapa faktor yang mempengaruhi pengeringan adalah seperti suhu dan masa pengeringan, kelajuan udara, muatan dulang dan nilai pH perlu diambil kira oleh pengusaha herba seterusnya pengguna. Lazimnya suhu, masa dan kelembapan bandingan di dalam bilik penyimpanan dapat mempengaruhi mutu hasilan akhir Oleh itu bagi mendapatkan mutu herba yang baik selalu pastikan dibuat pengawasan ke atas proses metabolisma di dalam bilik penyimpanan adalah mustahak dilakukan. Buah mahkota dewa yang telah kering sesuai diproses dan dibuat pembungkusan kedap udara untuk disimpan. Selamat mencuba menanam dan mengambil produk herba Mahkota Dewa. Wasallam!.


MAHKOTA DEWA...SEJENIS HERBA...
DIATAS TANAH... DITANAM JUGA...
BUAHNYA LEBAT... MUDAH TUAINYA...
KHASIAT BANYAK... MARI MENCUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Herba Mahkota Dewa,
Labis, Segamat,
Johor, Malaysia.
(23 November 1436H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...