Support My Blog

Friday, June 19, 2015

SETANGKI


SETANGKI atau KEMAN AIR (Neptunia oleracea) adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh diatas permukaan air dari keluarga LEGUMINACEAE yang sering digunakan sebagai sayuran. Tumbuhan ini banyak di usahakan oleh petani di Malaysia sebagai tanaman sampingan dan selalunya tidak dikomersilkan hanya untuk kegunaan ulaman. Bagaimana pun setangki adalah tanaman popular dan dijadikan tanaman penting di Thailand. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah Water Mimosa (English), Neptunie potagere (Peranchis), Kemon (Indonesia), Keman Air; Keman Gajah; Tangki (Malaysia), kanchahnaet (Kemboja), Phakchit; Phakkrachet (Thailand) dan Phakseed (Laos). Penulis mendapati tidak ada data statistik rasmi menganai keluasan tanaman setangki atau keman air di usahakan di Malaysia tetapi saya aanggarkan lingkungan 20 hektar CHE sahaja. Tanaman ini yang sering ditanam oleh petani dikawasan keliling rumah kadang-kadang ada dijual di pasar malam dan pasar tani sebagai satu daripada jenis sayur yang kurang popular. Generasi baru sekarang ini mungkin ramai tidak tahu akan tumbuhan saayuran ini kerana ia amat jarang dihidangkan terutamanya dikalangan penduduk bandar. Tumbuhan Setangki (Sila lihat foto diatas) merupakan tumbuhan jenis akuatik yang sesuai ditanam didalam kolam atau taliair atau dikawasan sawah padi yang sentiasa berair. Mungkin sekali pandang ramai akan menyangka ia adalah tumbuuhan Rumput Semalu (Mimosa spp) tetapi sebenarnya adalah berlainan sama sekali. Artikel pada petang Sabtu kali ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman Setangki atau Keman Air berdasarkan buku bacaan, pengalaman ketika bertugas di Melaka (Projek tanaman Setangki di Padang Temu) dan pemerhatian persendirian selama bertugas 34 tahun.

Tumbuhan Setangki adalah jenis herba yang boleh hidup sebagai parennial atau annual dan jenis tumbuhan akuatik terapong diatas air. Semasa bertugas di Melaka dulu, orang kampong lebih kenal tumbuhan ini dengan nama "TENGKI" sahaja bagi tumbuhan ini yang di tanam di kawasan kolam atau taliair khas yang dekat dengan sawah padi. Walau pun begitu penanaman setangki ini amat mudah dilakukan dan mudah penjagaannya. Lazimnya tumbuhan ini mempunyai akar pelampong dan juga akar rambut yang tebal dan keras berkayu (Sila anda lihat foto disebelah). Batang Setangki atau  keman air membentuk 'pelampong' yang kembong dimana ia mengandungi udara dengan panjang antara 1.2 - 1.5 meter antara ruas untuk mengapong diatas air. Tumbuhan ini timbul dipermukaan air untuk mendapatkan banyak cahaya matahari. Bahagian bawahnya mempunyai akar yang menyerap nutrien makanan daripada air. Sementara itu bahagian daunnya berbentuk bipinate dengan susunan bersilang (2-4 pasang) dengan panjang daun 3-7 cm berwarna hijau gelap kemerahan. Pucuk Setangku lazimnya lembut dan dipetik untuk dijadikan sayuran dan ulaman. 

Bunga Setangki berbentuk komposit yang mengandungi 40-50 jambak bunga sekuntum bewarna kekuningan dengan petal berukuran 3- 4.5 mm panjang. Bunga yang bisexual ini dengan 'kelopak campanulate' berukuran 2-3 mm akan membentuk buah yang berukuran 2-3 cm x 1 cm berbentuk oblong. Setiap biji buah keman air mengandungi 4-8 biji benih yang berukuran lingkungan 4-5 mm x 3-4 mm setiap biji. Biji benih keman air lazimnya berwarna coklat. Kajian juga mendapati setiap 100 gram keman air mengandungi 90 gram air, Protin (6.4 g), Lemak (0.1 g), Karbohiderat (0.8 g), Serat (1.8 g), Ash (1.2 g), Ca (387 mg), Posforus (7 mg), Fe (5.3 mg), Vitamin A (5,155 IU) , Vitamin B1 (0.12 mg), Vitamin C (1.8 mg), Niacin (3.2 mg) dan sebanyak 134 kiloJoule tenaga. Bahagian daunnya digunakan untuk mengubati penyakit Necrosis semantara akarnya juga boleh digunakan untuk mengubati hidung berdarah. Jus akar juga telah digunakan secara tradisional di Malaysia dan Thailand untuk mengubati Penyakit Syphilis Kronik.

Kawasan yang sesuai untuk menanam Setangki mestilah dari kawasan kolam, paya atau parit yang mempunyai air yang bersih dan tidak dicemari logam berat atau sisabaki racun. Jika paras air mengurang atau kering tanaman setangki akan lemah dan akan mati jika kering terlalu lama. Tumbuhan ini perlukan air yang sentiasa mengalir dengan kedalaman antara 30 -80 cm. Kawasan yang dipilih mestilah mendapat cahaya matahari 100% dan tidak sesuai jika terlindung. Kawasan dipilih perlu di pastikan bukan dari tanah masam atau ada asid sulfat dan bukan dari kawasan air payau. Penanaman keman air boleh ditanam dengan biji benih tetapi petani sering menggunakan keratan batang untuk menanam. Penyediaan kawasan di mulakan dengan meratakan tanah dengan membajak dan merata sebelum dimasukkan air sedalam 20-30 cm. Keratan setangki adalah sepanjang 50-150 cm di tanam dengan jarak penanaman 1 meter x 2 meter sebanyak 3-5 keratan satu point. Seminggu kemudian paras air di tambah atau di naikkan sedalam 50 cm dan pacakkan beberapa batang tiang kayu untuk mengatur perebakan setangki atau keman air.

Kawalan rumpai air perlu dijalankan untuk mempastikan hanya Setangki yang akan membiak dan merebak. Rumpai air seperti Pistia strattiotis, Eichornia crasipes, Lemma spp. , Ludwigia ascendens perlu selalu dikutip dan dimusnahkan dari kawasan penanaman. Kadar pembajaan disyorkan sama  seperti tanaman padi iaitu baja NPK 150 - 300 kg sehektar. Pemberian baja perlu di tabur secara berperingkat2. Pastikan paras air diturunkan kepada 30 cm sahaja untuk tujuan pembajaan dan naikkan paras kedalaman air semula kepada 50 cm selepas 2 hari menabur baja. Jika menanam dalam canal atau taliair sawah tidak perlu menjalankan pembajaan memadai dengan baja dari sawah padi.

Pemerhatian di Melaka saya dapati tidak ada musuh dan perosak serta penyakit yang serious menyerang tanaman Setangki. Terdapat larva atau ulat pengulung daun (Synclita spp) yang merosakan tisu 'spongy' dan batang Setangki. Kawalan dengan racun serangga yang mengandungi a.i. pyrethroid sangat berkesan. Musuh lain yang makan tumbuhan ii adalah seperti kura-kura, labi-labi, ikan, itek dan angsa. Kawalan adalah dengan memasang pagar kawat mata punai atau papan di keliling kawasan penanaman jika mampu. Selalunya aktiviti penuaian Setangki ini dijalankan 3-4 minggu selepas menanam. Pengutipan hasil dijalankan dengan memotong pucuk muda sepanjang 50 - 100 cm dengan pisau tajam kemudian di bersihkan dan diikat atau dikumpulkan didalam bakul. Kekerapan mengutip hasil adalah 5-7 hari sekali selama 4-6 bulan lamanya. Pucuk Setangki yang telah di basuh diikat dalam 200 - 250 keratan satu ikat/bundle sebelum dihantar kepasar atau pemborong untuk dijual. Kajian saya mendapati, anggaran pengeluaran hasil Setangki adalah  sebanyak 30,000 - 50,000 pucok satu hektar setahun. Teknologi penanaman Setangki adalah mudah dan sangat berkait dengan kualiti air. Penyelidikan mengenati teknologi tanaman ini di Malaysia perlu di tumpukan kepada spesis yang sesuai di tanam, berhasil tinggi dan mendapat permintaan yang baik dari pengguna. Kajian mengenai penggunaan keman air perlu di teruskan agar pada masa akan datang tumbuhan ini dijadikan sebagai komoditi penting dalam sektor pertanian negara. Wasallam...

DALAM KOLAM....'SETANGKI' TANAMAN....
KERATAN BATANG...LALU DITABURKAN...
KALAU DI PROMOSI...ADA PERMINTAAN...
TANAM SENDIRI ... BILA-BILA MAKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Wetland,
Putrajaya
Malaysia
(30 Rabiulakhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...