Support My Blog

Thursday, August 27, 2015

HERBA - LIMAU PURUT (Part 1)

LIMAU PURUT (Citrus hystrix DC) merupakan sejenis tanaman daru kumpulan limau (Citrus) tetapi ia juga dikategorikan sebagai tanaman Herba. Limau purut juga dikenali dengan beberapa nama lain diseluruh dunia seperti Keiffer lime atau Kafir lime dalam bahasa Inggeris.  Ia juga dipanggil sebagai Jeruk Purut (Indonesia) dan juga sebagai Bai Makrut (Thailand). Kajian saintis juga mendapati tumbuhan limau purut ialah tanaman saka yang berasal dari Asia. la telah ditanam di Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak lama dahulu sehingga sukar di kesan habitat asalnya. Kebanyakan tanaman ini ditanam di persekitaran rumah secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri. Kegunaan utama limau purut ialah daunnya yang sering digunakan dalam masakan. Daun limau purut menjadi kemestian dalam masakan seperti Asam Pedas, Masak Asam dan beberapa hidangan lain seperti Rendang dan sebagainya. Walau bagaimanapun, buahnya dengan kulit yang berkedut, tebal dan isinya yang tidak berapa berair juga turut digunakan. Penulis pun sentiasa menanam pokok limau purut dalam pasu disekeliling rumah untuk kegunaan sendiri. Limau purut tergolong dalam subgenus Papeda. Oleh itu ia agak berbeza daripada limau jenis lain yang tersohor kerana keenakan buahnya. Nama spesies limau purut ialah Citrus hystrix yang bermaksud 'Landak' dalam bahasa Greek kerana batang dan rantingnya yang berduri. Keunikan aroma minyak pati yang disuling daripada daun limau purut adalah disebabkan oleh sebatian yang dikenal pasti sebagai Sitronelal. Kandungan sebatian ini di dalam minyak pati daun limau purut adalah lebih kurang 80%. Sebatian lain yang terdapat dalam minyak pati daun limau purut ialah sitronelol (10%), Nero-I dan Limonena. Komposisi minyak pati daripada kulit buah limau purut pula terdiri daripada limonena dan B-pinena.  Artikel mengenai herba dalam "Anim Agro Technology" kali ini adalah mengenai tanaman limau purut yang juga disambung dalam Part 2 dan Part 3 untuk rujukkan anda.

Pokok limau purut boleh tumbuh dinegara kita dengan subur jika dijaga dengan baik iaitu sehingga 30 m tinggi. Penulis pernah melihat pokok limau purut yang cukup besar tanpa dibuat cantasan di Melaka. Walau bagaimanapun jika dibandingkan dengan spesis limau lain didapati bahawa kadar pertumbuhan limau purut adalah perlahan. Beberapa kaedah seperti dengan pemangkasan yang teratur membolehkan ketinggian pokok limau purut dapat dikawal pada aras yang memudahkan kutipan daun (Sila lihat foto disebelah). Apa yang berlainan mengenai limau purut adalah bentuk daunnya yang unik. Daun limau purut mempunyai bentuk tersendiri dengan tangkai daun (petiole) bersayap yang memberi gambaran dua helai daun yang dicantumkan hujung ke hujung. Bahagian daun ini seakan nombor '8' dan berwarna hijau muda bagi daun dibahagian pucuk dan menjadi hijau gelap apabila ia tua. Bahagian daun adalah yang paling banyak digunakan dalam masakkan terutama daun limau putut segar.Ia boleh juga dikeringkan tetapi kurang sedikit kandungan aromanya.  Kulit buah limau purut berkedut dan isinya mengandungi jus yang sangat sedikit. Pada saya rasa jus perahan limau purut biasanya masam dan pahit. Walau bagaimanapun terdapat juga varieti yang berair dengan jus perahannya berasa manis. Buah limau purut juga sering digunakan dalam perubatan tradisional.


Khasiat dan kegunaan limau purut memang telah lama diketahui oleh masyarakat tempatan. Pastinya daun limau purut banyak digunakan sebagai perasa terutama dalam masakan Ala-Thailand seperti tomyam. Aroma dan rasa yang dikeluarkan oleh daun limau purut memberikan keistimewaan yang tersendiri dan dikatakan tidak dapat digantikan oleh herba jenis lain. Daun yang telah dikeringkan juga digunakan dalam pelbagai ramuan dalam perubatan tradisional dan mempunyai aktiviti antihistamina, antispasmodik, dan hipotensi. Selain itu, daun limau purut juga digunakan sebagai salah satu bahan untuk mandi tersat atau mandi wap. Kajian mutakhir pula menunjukkan bahawa daun limau purut segar berpotensi sebagai sumber yang berkesan sebagai penggalak anti tumor atau pencegah kanser. Secara tradisinya buah limau purut turut digunakan untuk mencuci rambut dengan mencampurkannya bersama bahan lain iaitu beluru atau sintok. Air yang diperah daripada buahnya pula digunakan untuk membunuh pacat selain digunakan untuk mencuci mulut dan dikatakan dapat menguatkan gusi. Air yang diperah daripada buahnya juga dikatakan dapat membantu mengatasi masalah zakar yang lemah apabila dicampurkan dengan lada hitam yang telah ditumbuk dan dijadikan minuman. 


Kulit buah limau purut pula sering digunakan untuk membuat jamu dan digunakan untuk memeram, dan memberikan rasa dan aroma yang tersendiri terhadap masakan berdaging. Minyak pati yang diekstrak melalui proses penyulingan wap menggunakan kulit buah dan daun juga didapati mempunyai aroma yang khusus. Lazimnya apa yabg penulis lihat minyak pati ini banyak digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti aromaterapi, nutraseutikal dan produk penjagaan diri. Minyak pati limau purut yang mempunyai sifat-sifat antiseptik, astringen dan antibakteria membolehkannya digunakan dalam produk untuk merawat luka, lebam dan sengatan serangga berbisa. Memang agak sukar untuk mendapatkan minyak pati limau purut ini kerana kandungannya adalah sedikit dan perlukan peralatan dan kemahiran khas untuk mengekstrak. Minyak pati limau purut yang dicampurkan ke dalam minyak urut pula dapat memberikan kesegaran dan merangsang perjalanan darah yang lancar pada kulit. Penggunaannya dalam air mandian terapeutik dan minyak urut juga dapat membersihkan kulit.


Dari segi kesesuaian tanah dan iklim, penulis merujuk beberapa penerbitan. Lazimnya limau purut perlukan keadaan cuaca seperti di Malaysia. Keadaan ini akan membolehkan tanaman limau purut di tanam dikebanyakan kawasan dari kawasan tanah rendah hingga 400 m dari atas laut. Tanaman limau purut memerlukan kawasan lapang yang mendapat cahaya matahari penuh tanpa lindungan. Limau purut dapat tumbuh dengan subur pada suhu 25-30’C. Namun limau purut juga dapat tumbuh dengan subur pada tahap suhu yang lebih tinggi iaitu sehingga 38°C. Tanaman limau purut juga memerlukan 5-6 bulan basah.  Jenis tanah yang sesuai untuk tanaman limau purut ialah tanah 10m dan 10m berpasir dengan peratusan liat 7-27%, debu (silt) 25-50% dan pasir kurang daripada 50%. Jenis-jenis tanah andosol dan latosol sangat sesuai untuk penanaman limau purut. Limau purut dapat tumbuh dengan baik pada pH tanah 5.5-6.5 dan pH optimum 6.0. Kawasan yang sesuai untuk tanaman limau purut juga mesti mempunyai aras air bawah tanah pada kedalaman 150-200 cm. Tanaman limau purut juga memerlukan saliran yang baik dengan aras air sekitar 50 cm dari permukaan tanah pada musim hujan. Pemilihan kawasan penanaman yang sesuai menentukan kejayaan penanaman limau purut secara komersil. Artikel ini bersambung pada Part 2, Part 3 dan Part 4. Wasallam!.


LIMAU PURUT...MENGERUTU KULITNYA...
DAUNNYA UNIK... NO '8' BENTUKNYA...
DITANAM SENDIRI...SELALU DIGUNA...
WALAU LIMAU...IA KATEGORI HERBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(19 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...