Support My Blog

Tuesday, October 6, 2015

KETUM - TUMBUHAN TERKAWAL

POKOK KETUM (Mitragyna speciosa Korth., Havil ) adalah merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh liar dikawasan hutan tropika dan kini dikategorikan sebagai tumbuhan yang terkawal dibawah Akta Dadah Merbahaya 1952. Nama lain tumbuhan ini adalah seperti Kratom, Kakuam, Ithang, Biak atau Thom dimana ia adalah daripada famili Rubiaceae. Daripada segi taburan tumbuhan Ketum ini didapati banyak tumbuh liar di Utara Semenanjung Malaysia iaitu di kawasan hutan, belukar, sawah padi dan juga di persekitaran kawasan kampung. Pokok ketum lazimnya hidup subur di kawasan bertanah lembap dan tanah tidak mudah tenggelam terutama pada musim hujan. Pokok ketum merupakan pokok saka yang mana ia lazimnya memang boleh mencapai ketinggian melebihi 50 kaki. Ia boleh dibiakan melalui biji benih atau juga keratan batang yang boleh dijadikan benih untuk ditanam. Daun ketum dari segi sejarah memang telah lama digunakan secara tradisional untuk tujuan mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan lagi tenaga untuk melakukan kerja-kerja berat serta oleh wanita lepas bersalin. Batangnya tumbuhan ini menegak dengan banyak cabang. Daun Ketum berwarna hijau gelap dan tebal dengan susunan bersilang berukuran 4-10 cm lebar dan 10-18 cm panjang. Bentuk daun adalah jenis 'Ovate-accuminate'. Daunnya akan gugur sedikit semasa musim panas tetapi ia akan menjadi sangat lebat semula dalam musim hujan. Bahagian daun inilah yang mengandungi bahan aktif  MITRAGININE iaitu sejenis bahan alkoloids yang memabukkan dan ia boleh menyebabkan KETAGIHAN (addicted). Akar pokok ketum adalah terdiri dari akar tunjang dengan kuat masuk jauh kedalam tanah. Bunga ketum adalah berwarna kuning dengan berjambak mengandungi lingkungan 120 kelopak setiap satu tangkai. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan Ketum iaitu sejenis tanaman terkawal untuk dijadikan bahan rujukkan teknikal kepada semua.


Terdapat dua jenis pokok ketum di negara kita iaitu KETUM DAUN HIJAU dan KETUM DAUN MERAH. Mungkin ramai dikalangan kita tidak pun pernah melihat atau memegang pokok dan daun ketum kerana ia dulu tidak mempunyai kepentingan. Ciri-ciri pokok ketum daun hijau adalah dimana warna permukaan atas daun adalah hijau, warna bahagian bawah daun adalah hijau muda dan urat daun juga HIJAU (Sila anda lihat foto disebelah). Ciri setruktur batangnya adalah Menegak dan bercabang dengan kulit batang lazimnya Licin (Dengan sedikit menggerutu). Lazimnya juga warna kulit batang jenis ini adalah Hijau. Bilangan buah setangkai lingkungan 5-8 biji dimana warna buah muda adalah hijau dan warna buah tua adalah coklat kehitaman. Buah muda didapati   berwarna Hijau muda dan buah dewasa adalah berwarna Coklat kehitaman. Bunga bagi ketum jenis ini adalah berwarna Kuning. Jenis ketum daun hijau didakwa kurang 'power' berbanding dengan jenis merah.


Jenis kedua adalah Ketum Daun merah dimana antara ciri-ciri pokok ketum daun merahu adalah dimana warna permukaan atas daun adalah hijau, warna bahagian bawah daun adalah hijau muda dan urat daun berwarna MERAH (Sila anda lihat foto disebelah). Ciri setruktur batangnya adalah Menegak dan bercabang dengan kulit batang lazimnya Licin (Dengan sedikit menggerutu). Lazimnya jika dilihat warna kulit batang jenis ini adalah Hijau. Bilangan buah setangkai lingkungan 5 - 8 biji dimana warna buah muda adalah hijau dan warna buah tua adalah coklat kehitaman. Buah muda berwarna Hijau muda dan buah dewasa adalah berwarna Coklat kehitaman. Bunga bagi ketum jenis ini adalah kecil dengan berwarna Kuning. Jenis daun merah didakwa mempunyai khasiat lebih baik daripada yang jenis daun hijau kerana kandungan antosainin yang lebih hebat. Mereka yang ahli botanis mungkin mudah untuk menjelaskan perbezaan diantara jenis merah dengan jenis hijau.


Kajian mengenai faedah daun ketum belum banyak diketahui. Bagaimana pun daripada beberapa laporan testimoni ada menyatakan iaitu selepas 5-10 minit air ketum diminum akan memberikan kesan khayal selama 2-5 jam. Kesan minum air ini akan rasa mulut kering, rasa gatal-gatal, pening-pening, banyak kencing dan juga hilang selera makan. Penggunaan daun ketum dalam dos yang rendah dipercayai baik untuk kesihatan tubuh manusia kerana ianya merangsang pengedaran darah, mengurangkan kandungan gula dalam darah, menambahkan tenaga dan sebagainya. Kesannya jika digunakan cara betul dikategorikan sebagai 'Physco-stimulants drugs' tetapi harus tidak berlebihan dan mendapat nasihat pakar. Ada dikalangan masyarakat dulu yang dikatakan agak suka untuk mangunyah daun ketum sebagai bahan yang menghayalkan. Kajian oleh saintis dan pakar kesihatan ada menyatakan kandungan dos sebanyak 2-10 gram mitraginine adalah sesuai untuk tambah kesihatan tetapi jika sering digunakan akan mengakibatkan ketagihan. Akta Dadah Merbahaya 1952 di Malaysia memang melarang sesiapa juga menanam, memproses, menjual dan meminum produk daun ketum untuk tujuan apa juga dan ianya boleh didakwa dibawah akta tersebut.


Laporan tidak rasmi mengenai penanaman ketum dibeberapa lokasi luar negara (salah dari segi undang-undang Malaysia) mendapati dengan jarak tanaman 3m x 3m imereka mampu memberikan kepadatan tanaman 1,300 pokok/ha. Laporan tersebut ada menyatakan anggaran harga ladang daun segar ketum adalah sekitar RM25.00 - RM30.00 sekilogram dimana anggaran hasil sekitar 1,000 kg sehektar sebulan pada pokok ketum berumur 7- 8 tahun atau pun purata 12,400 kg sehektar setahun. Kalau didharabkan dengan harga jualan maka anda akan dapat kira berapa anggaran pendapatan bagi sehektar penanaman ketum dinegara tersebut. Daun segar ini akan diproses menjadi kering atau dijadikan serbuk daun ketum untuk pasaran tertentu. Pokok ketum adalah tanaman yang terkawal dimana tidak boleh ditanam kerana kemungkinan boleh berlaku masaalah penyalahgunaan air minuman ketum. Ia kini telah menjadi masaalah kepada rakyat Malaysia. Kerajaan juga tidak pernah mengalakan penanaman, penjualan dan penggunaan air ketum malahan mereka yang bersalah boleh didakwa mengikut akta tersbut. Artikel ini memberikan info mengenai pokok ketum untuk rujukan teknikal sahaja. Wasalam!.
POKOK KETUM... DI KAWAL DIA...
MITRAGININE... IA DADAH JUGA...
SIAPA SALAH GUNA...IA DIDAKWA...
BACA ARTIKEL.. RUJUKAN SAHAJA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Herba Perak, Gopeng,
Perak, Malaysia.
(12 Zulkaedah 1436H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...