Support My Blog

Thursday, April 28, 2016

UBIKAYU - MUDAH DAN UNTUNG?

TANAMAN UBI KAYU (Manihot esculenta) merupakan tanaman yang mudah dilakukan dan ia boleh memberikan pendapatan kepada penanamnya serta boleh didakwa menguntungkan. Itu yang dinyatakan oleh seorang pemuda bernama Faisal dari Kampong Bangau Parit, Temerloh, Pahang yang penulis berpeluang melawat kawasan tanaman ubikayu sekitar 0.3 hektar bersebelahan dengan tanaman cili padi fertigasi. Ubi jenis 'black twig' yang ditanam berumur 6-8 bulan ini subur diatas tanah jenis alluvium sungai yang sedia untuk dituai secara berperingkat-peringkat untuk dijual segar disekitar Bandar Temerloh dan kampong sekitarnya. Jarak penanaman pokok ubikayu adalah 1 meter - 1.2 meter dimana celahnya ditanam dengan pokok pisang. Tapak yang disewa daripada penduduk kampong ini mampu menjana pendapatan apabila purata setiap pokok ubi yang dituai ini memberikan pulangan sekitar RM10.00 - RM12.00 dari hasil jualan ubikayu yang dituai. Pemuda yang bertugas sebagai wartawan sambilan Sinar Harian ini juga menyatakan akan memperluaskan tanaman ubi kayu dimasa akan datang dengan menyewa tanah lain tetapi memerlukan kos untuk menyediakan tanah dan sistem pagar. Ini kerana terdapat banyak ternakan seperti lembu, kambing dan serangan babi hutan yang merosakkan tanaman ubi kayu dikampong tersebut. Kawasan tanaman sedia ada kini telah dipagar menggunakan pagar zink, black netting dan kawat duri bagi mengelakkan serangan haiwan perosak. Tanaman ubi kayu memerlukan masa antara 7-12 bulan untuk dituai secara berperingkat mengikut harga pasaran dan permintaan. Ubi kayu yang dijual kebanyakannya dimakan sebagai ubi rebus atau dijadikan kuih-muih berasaskan ubi kayu. Belum ada dikalangan penduduk tempatan dikampong ini yang terlibat menjalankan projek IAT membuat kerepek ubi dan produk lain. Artikel subuh ini dari bilik hotel saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman ubi dan cili padi fertigasi mampu menjana pendapatan.


Tinjauan penulis ke projek ini semasa panas terik dan kemarau teruk melanda dikampong ini. Penulis hadir sempena dengan lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani keprojek ternakan ikan sangkar yang terjejas teruk akibat air sungai yang kering (Sila lihat foto disebelah dimana kelihatan sangkai atas pasir sungai). Ketiadaan hujan lebat selama hampir 3 bulan di ulu Sungai Pahang telah menyebabkan sangkar ikan patin, ikan tilapia dan beberapa jenis ikan sungai yang diternak berada didaratan akibat paras air yang turun. Jabatan Perikanan telah pun menilai anggaran kerugian oleh penternak mencecah sehingga RM4.3 juta melibatkan kematian ikan, kerosakan sangkar dan juga infrastruktur lain. Dilaporkan juga daripada 386 penternak ikan sungai diseluruh Pahang, seramai 268 orang adalah berada disekitar Temerloh yang terkenal dengan gelaran 'Bandar Ikan Patin'. Ikan Patin merupakan IKON kepada bandar Temerloh dengan keenakkan ikan tersebut yang dikira sebagai makanan eksotik dikalangan ramai peminat ikan sungai ini. Harga ikan patin kini jauh lebih tinggi daripada harga ikan laut dan ayam daging apa lagi kalau ia sudah siap dimasak. Sepotong ikan patin yang siap dimasak tempoyak biasa dijual sekitar RM12.00 - RM14.00 sepotong. Bekalan ikan patin dan beberapa jenis ikan sungai yang lain terjejas teruk akibat bencana banjir dan kemarau panjang di Sg Pahang di Temerloh yang merupakan fenomena alam semulajadi. Beberapa langkah perlu disusun bagi mengatasi masaalah kerugian ini seperti menjadualkan semula masa menternak dan membuat pelan strategik yang khusus. Ikan Patin memerlukan teknik penjagaan yang khusus untuk ia diternak didalam sangkar sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dipasarkan.  


Berbalik kepada tanaman ubikayu, pada sekitar tahun 1980'an keluasan tanaman ubikayu mencecah seluas 20,000 hektar tetapi pada tahun 2015 hanya seluas 2,970 hektar sahaja ditanam dengan jumlah hasil sebanyak 25.8 metrik tan (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Bagaimana pun dikaji dari segi produktiviti, didapati di Malaysia mencatatkan jumlah hasil pengeluaran yang tinggi sehektar berbanding dengan kadar produktiviti negara jiran kerana kebanyakan hasil ubikayu di berikan pembajaan mencukupi. Tanaman ubikayu di Thailand dan di Vietnam kebanyakannya ditanam untuk diproses dijadikan produk lain seperti kanji dan biodisel. Menanam ubi kayu dikatakan senang dan mudah kepada mereka yang selalu menanamnya dengan mengetahui teknologi dan juga agronominya. Tanaman ini mudah tumbuh dikawasan tanah subur dan dijaga dengan baik. Siapa sangka bahawa jika anda menanam ubi kayu sebenarnya mempunyai musuh dan perosak semulajadi yang perlu dikawal agar kita mampu mendapatkan hasil yang banyak dan berkualiti. Antara beberapa jenis serangga dan haiwan perosak memang mampu menjejaskan kesuburan tanaman ubi kayu dan kualiti yang akan dihasilkan. Dari segi penyakit pula memang perlu dikenalpasti dan dikawal dengan cara yang betul untuk mengurangkan kadar kerosakan tanaman. Tinjauan penulis di lokasi tanaman ubikayu Faizal mendapati tiada tanda serangan serangga perosak dan penyakit.


Penulis berperanan dalam memberi khidmat nasihat teknikal kepada petani dimana bagi tanaman ubikayu. Sebenarnya terdapat beberapa jenis serangga perosak yang boleh menyerang tanaman Ubikayu. Ada dua jenis ulat iaitu Ulat Putih - Uret (Xylenthropus spp) dan Tungau Merah. Ulat Uret ini selalu berada didalam tanah dimana ia akan menyerang bahagian akar tanaman ubi kayu terutama diperingkat awal penanaman. Ulat ini juga boleh menyebabkan akar pokok ubi rosak dan menyebabkan tanaman ubi kayu akan mati jika serangan berlaku pada peringkat masih pokok muda. Kaedah kawalan dengan cara amalan agronomi iaitu kita perlu membersihkan kawasan penanaman ubikayu daripada sisa tanaman berkayu yang mereput (ia merupakan sumber makanan ulat ini) dan jika serangan pada kadar serius boleh disembur dengan racun serangga seperti Sevin semasa menyediakan kawasan. Ia dilakukan sebelum menanam ubikayu untuk membunuhnya. Serangan Tungau Merah (Tetranychus bimaculatus) pula menyerang pada permukaan bawah daun dengan pokok ubikayu dengan menghisap cairan daun (air sap daun) pokok tersebut. Serangan ini akan lebih ketara ketika musim kering dan panas serta kurang hujan. Kaedah kawalan dengan cara amalan agronomi iaitu mempastikan sanitasi ladang adalah terbaik dan dibersihkan. Tanda serangan tumgau merah akan mengakibatkan bahagian daun diserang akan menjadi kering dan tidak produktif. Kaedah kawalan yang disyorkan adalah dengan menanam varieti ubikayu yang tahan kepada serangan ini dan buat semburan dengan air dengan kuantiti banyak sehingga tungau ini jatuh ketanah . Lazimnya jika berlaku hujan lebat serangan serangga tungau ini akan terkawal secara semulajadi.


Walau pun ia tanaman ubikayu sahaja tetapi masih ada berlaku serangan penyakit berlaku. Beberapa penyakit layu menyerang tanaman ubikayu seperti Bintik Daun Bakteria, Layu Bakteria, Layu Duan Coklat dan Bintik Daun Berpusar. BagiPenyakit Bintik Daun Bakteria ini disebabkan oleh patogen dikenali dengan nama Xanthomonas manihotis atau juga ia dipanggil sebagai Cassava Bacterial Blight (CBG). Tanda serangan dimana ada tanda bintik-bintik bersudut pada daun lalu bergerak dan mengakibatkan pada daun kering dan akhirnya mati (Sila lihat foto disebelah). Cara kawalan adalah dengan menanam variet ubikayu yang tahan serangan atau kita memotong atau memusnahkan bahagian tanaman yang sakit. Cara lain adalah dengan melakukan pergiliran tanaman dan sentiasa membuat sanitasi kebun. Penyakit Layu Bakteria pula selalu disebabkan oleh patogen Pseudomonas solanacearum. Tanda serangan bermula pada bahagian daun, akar dan batang dimana tiba-tiba atau dengan mendadak daun ubikayu akan menjadi layu seperti tersiram air panas. Bia disiasat dibahagian akar dan batang dan umbisinya akan didapati telah menjadi busuk. Cara kawalan adalah dengan kita melakukan pergiliran tanaman, menanam varieti yang tahan serta mencabut dan memusnahkan tanaman yang teruk diserang dengan membakarnya. Walau pun tanaman ubi komersil kurang mendapat perhatian petani tetapi jika ditanam secara kecil-kecilan atau disekeliling rumah boleh mendatangkan keuntungan.


Menanam ubikayu dikatakan mudah dan boleh berikan pendapatan. Penulis ada membuat analisa mengenai Kosting bagi tanaman ubi kayu. Ubikayu yang dituai segar akan dijual dan digunakan sebagai bahan untk dimakan sama ada direbus, digoreng, dibuah kuih tradisional atau pun dibuat kerepek. Ubi yang segar ada dijual dipasar tani, kedai runcit, pasar basah dan pasar malam atau gerai tepi jalan (Sila rujuk Jadual diatas). Analisa tanaman ubikayu jika dikaji dan dibuat analisa kewangan dijangka akan boleh menghasilkan sebanyak 28,000 kg umbisi sehektar dan jika harga ladang RM0.50 memberikan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 14,000.00 sehektar. Bagaimana pun semasa tinjauan penulis dibuat diTemerloh harga ladang (runcit dikampong) adalah RM1.50 sekilogram (harga April 2016). Anggaran jumlah Kos Pengeluaran ubi kayu adalah sebanyak RM 10,435.00 menjadikan anggaran pendapatan bersih tanaman ubi kayu sekitar RM 3,043.00 sehektar semusim. Jika harga jualan adalah RM1.20 sekilogram manjadikan pendapatan kasar menjadi RM 33,600.00 . Jika ubi kayu dituai dalam masa 8-9 bulan maka pendapatan bersih tenaman ubi kayu sekitar RM338.10 sehektar sebulan tetapi meningkat kepada RM2,573,90 sehektar sebulan (Harga jualan RM1.20 sekilogram). Anggaran titik pulang modal pada harga ladang RM0.50 sekilogram maka nilainya adalah RM0.52 atau jualan ubi kayu mesti melebihi RM0.39 sekilogram untuk membuat keuntungan. Kadar B/C Ratio tanaman ubikayu adalah sekitar 1.28 dan ini bermakna setiap RM1.00 yang dibelanjakan ianya akan memberikan pulangan modal sebanyak RM1.28. Tanaman ubi kayu tidak begitu menguntungkan berbanding dengan tanaman lain. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
BANGAU PARIT ...KAMPONG LAMA...
TEPI SUNGAI... SUBUR TANAHNYA...
TANAM UBIKAYU...MUDAH SAHAJA...
DILAKUKAN OLEH...ORANG MUDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Bangau Parit,
Temerloh, Pahang,
Malaysia.
(30 JamadilAkhir 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...