Support My Blog

Monday, June 6, 2016

DEDALU- ANCAMAN POKOK DOKONG

DEDALU adalah sejenis tumbuhan parasit yang menyerang pelbagai jenis tanaman dikawasan tropika terutama buah-buahan tempatan. Antara pokok buah yang paling disukai dedalu adalah Pokok Jering (Archidendron jiringa) dan Pokok Dokong (Lansium domesticum) dan pokok dari kumpulan Lansium yang lain. Penulis dapati terdapat dua jenis pokok dedalu yang sering dijumpai menyerang pokok buah-buahan di Malaysia terutama pokok dokong hasil tinjauan penulis. Jenis Dedalu berdaun hijau dan lebar ini dikenali dengan nama Dendrophthoe pentandra atau digelar penduduk tempatan sebagai 'Dedalu Betina' dan jenis kedua adalah Salix tetrasperma atau digelar sebagai 'Dedalu jantan' (Sila lihat foto paling bawah sekali). Dedalu lebih suka pada pokok dokong yang tidak pernah dijaga sama ada ia pokok subur apa lagi kalau pokok dokong kurang subur. Dari pemantauan penulis selalunya benih dedalu memang tidak akan bercambah pada ranting kayu yang mati atau tumbuh diatas tanah apabila jatuh. Apa yang pasti adalah ia akan tumbuh dengan baik pada pokok yang tumbuh dikawasan terbuka dengan menerima banyak cahaya matahari. Mungkin ramai dikalangan petani yang tidak mendongak keatas pokok dokong mereka untuk melihat telah ada pokok dedalu dicelah dahan jika kurang diperiksa (Sila lihat foto paling atas sekali). Bergantung kepada jenis dedalu yang menyerang, jika jenis daun hijau seperti Dendrophthoe pentandra memang anda tidak dapat melihat dengan jelas akan kehadirannya. Apa yang pasti adalah jika serangan disedari setelah pokok dokong anda telah teruk diserang dan pokok dedalu menjadi dominan sehingga akhirnya menyebabkan kematian pada keseluruhan pokok tersebut. Artikel pagi Ahad ini sambil menonton TV Berita Awani saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai serangan pokok dedalu terhadap pokok dokong hasil penelitian penulis dibeberapa dusun tanaman dokong dan pembentangan satu kertas maklumat oleh En Nazri sebagai rujukkan. 

Dedalu yang terdapat pada pokok dokong amat signifikan serangannya melalui Tapak Rakis atau Tapak Ranting pada pokok dokong (Sila anda lihat foto disebelah). Ia akan memasukki bahagian tersebut dan menguasai pokok tersebut dengan mencuri air dan nutrien (makanan) yang terdapat pada pokok dokong. Lama kelamaan pokok dedalu akan menguasai pokok dokong dan akhirnya menjadi dominan. Apa pun pokok dokong akhirnya akan dibunuh dan pokok dedalu juga akan terbunuh. Pokok menumpang ini memang menjadi masaalah yang serius pada banyak pokok seperti pokok dokong, jering, mangga, rambutan duku dan sebagainya tetapi agak jarang diperkatakan oleh saintis dan petani. Beberapa penelitian penulis mendapati pokok dokong yang diserang KERUPING pada dahan dan batang adalah lebih mudah untuk diserang dedalu. Tahi atau tinja burung yang membawa benih dedalu yang melekat pada badannya juga akan mudah terperangkap didalam keruping dimana ia akhirnya akan bercambah dan menyerang pokok dokong. Bagaimana pun pokok dokong yang tidak berkeruping juga tidak terkecuali daripada diserang dengan dedalu. 


Apabila dilihat dengan lebih dekat bagaimana dedalu menumpang pokok dokong memang jelas akan pokok parasit ini merbahaya. Akar pokok dedalu akan melekat pada dahan pokok dokong dan akhirnya hanya pokok dedalu yang akan menjadi pucuk dibahagian atas (Sila lihat foto disebelah). Daun dan ranting pokok dokong akan mati dan digantikan dengan ranting dan daun dedalu sahaja. Terdapat aktiviti 'penguasaan' pokok dedalu terhadap dahan pokok dokong dengan 'secara total' dimana ia akhirnya menjadi dedalu sahaja yang tinggal. Beberapa pemerhatian menunjukkan antara pokok dokong yang diserang dan tidak dikawal akan berkurang hasilnya semasa musim buah akibat serangan oleh dedalu. malahan ada pokok dokong yang tidak berbunga fan berbuah akibat serangan dedalu pada skala teruk dimana pokok dokong boleh mati.


Siapakah dia yang menyebarkan benih dedalu?. Beberapa penelitisn dikebun mendapati antara yang signifikan untuk menyebarkan benih dedalu dikawasan pokok dokong adalah BURUNG KELICAP BUNGA (Nectarinia jungularis). Burung ini merupakan sejenis burung kecil yang memakan madu (honey) dengan mengunjungi bunga yang mempunyai madu untuk disedut. Pokok dedalu mempunyai bunga yang kaya dengan nektar untuk dikunjungi oleh burung kelicap bunga atau jenis kelicap lain yang bersaiz kecil dan terbang laju. Spora atau benih dedalu akan melekat pada badan burung kelicap dan diterbangkan kepokok-pokok dokong lain atau buah-buahan lain lalu gugur dan melekat. Jika benih dedalu melekat pada celah dahan atau keruping maka ia akan memudahkan pokok dedalu hidup dipokok baru. Antara penyebab lain penyebaran benih dedalu adalah melalui angin, haiwan seperti serangga, tupai, monyet, kumbang dan sebagainya walau pun tidak sepantas oleh burung kelicap. Antara kaedah kawalan serangan dedalu dikebun dokong adalah dengan memusnahkan pokok induk atau punca telah diserang dengan dedalu dengan memotong dan kemudian membakarnya, Seterusnya cantas dahan yang baru mula diserang dedalu. Sentiasa membuat pemantauan dikebun dokong dan hapuskan penyakit keruping. Cara lain adalah dengan membunuh penyebar benih iaitu burung kelicap (jika ada kaedah sesuai). Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca Anim Agro Technology yang membur informasi teknologi pertanian. Wasallam!..

POKOK DOKONG...ADA DEDALU...

ADA KERUPING...DISERANG DULU...
BURUNG KELICAP...ADA BULU...
PEMBAWA BENIH..KAWAL SELALU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Dusun Dokong Komersil,
Kg Pamah Rawas, Raub,
Pahang, Malaysia.
(30 Syaaban 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...