Support My Blog

Tuesday, July 5, 2016

KEDAULATAN MAKANAN - APA DIA?

KEDAULATAN MAKANAN (Food Sovereignty) merupakan satu dasar yang diujudkan berkaitan dengan jaminan bekalan makanan dalam negara. Kedaulatan makanan adalah merujuk kepada keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri dan kebergantungan terhadap bekalan makanan import iaitu merupakan dasar strategik penting buat Malaysia. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan dasar ini penting kerana sekiranya Malaysia terlalu bergantung kepada bekalan makanan import akibatnya negara akan bergantung kepada belas ihsan negara luar yang boleh mendatangkan kesan terutamanya daripada segi geopolitik. Bukan setakat kita bergantung kepada belas ihsan mereka tetapi akan memberi kesan terhadap pembayaran kerana jika kita kurang eksport dan lebih import ia akan beri kesan kepada nilai mata wang kita, malah mata wang jatuh yang diimport jadi lebih mahal. Penulis masih ingat bagaimana Malaysia dinafikan untuk membeli beras daripada Thailand dan Vietnam pada masa Krisis Makanan Dunia pada tahun 2008 walau pun mempunyai duit yang mencukupi untuk membelinya. Negara pengeluar beras tersebut tidak mahu menjual beras kepada Malaysia kerana negara mereka juga mengalami krisis makanan akibat bencana alam dan dasar keselamatan makanan dinegera mereka sendiri. Dasar ini memang bertepatan untuk Malaysia dengan menjadikan kedaulatan makanan sebagai asas untuk rakyatnya sendiri. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai kedaulatan makanan seperti laporan akhbar tempatan untuk dijadikan bahan bacaan.


Selain daripada bahan makanan asas yang diimport, Malaysia masih lagi bergantung kepada import untuk input penghasilan makanan seperti baja, racun, makanan ternakan, mesin dan peralatan ini sebabkan kita bergantung kepada negara luar, kalau apa-apa berlaku daripada segi geopolitik dan sebagainya akan jadikan negara kita lemah. Banyak bahan asas racun kimia, baja dan sebagainya diimport untuk kegunaan petani-petani tempatan. Dalam sektor benih tanaman jenis hibrid, dilaporkan Malaysia mengimport 95% benih hibrid dari luar negara. Benih hibrid sayuran, tembikai susu, jagung manis dan sayuran buah banyak yang diimport dengan harga yang tinggi setiap tahun. Keupayaan syarikat tempatan untuk menghasilkan benih hibrid masih jauh daripada keperluan sebenar. Hanya ada beberapa syarikat yang berjaya menghasilkan benih hibrid seperti GWG dibawah program EPP17 dan menghasilkan benih hibrid seperti Jagung Bijirin GWG111 dan GWG888 (Sila lihat foto disebelah). Benih ini jika ditanam secara komersil dijangka mampu untuk menggantikan jumlah import jagung bijirin yang amat besar nilainya untuk makanan ternakan. Mekanisma penanaman jagung bijirin dalam negara perlu diujudkan bagi mengeluarkan jagung bijirin ini. Insentif penanaman jagung ini boleh disesuaikan dengan insentif yang diberikan kepada industri penanaman padi.


Kedaulatan makanan ini menjadikan pendekatan dimana adalah penting untuk kerajaan terus‎ menggalakkan rakyatnya menceburi bidang pertanian bagi menambah penghasilan makanan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import. Beberapa inisiatif bantuan dalam bidang pertanian seperti baja dan subsidi perlu diteruskan kerajaan bagi memastikan kos penghasilan makanan itu dapat dikawal dan tidak terlampau tinggi sehingga menyebabkan bidang pertanian tidak menguntungkan seperti tanaman padi. Dinegara-negara maju seperti USA, Jepun dan sebagainya inisiatif masih diberikan terhadap beberapa tanaman bijirin (cereal crops) bagi menjamin petani mereka masih terus mengeluarkan bahan makanan tersebut seperti jagung, gandum dan sebagainya. Ini kerana apa yang terjadi ialah apabila kos menghasilkan makanan dalam negara itu lebih tinggi daripada kos untuk import daripada luar maka ramai syarikat yang cenderung memilih import. Jika perkara ini tidak diatasi makan akibatnya lama kelamaan tiada orang atau petani yang hendak bertani hasilkan makanan dalam negara. Ini adalah amat merbahaya kerana jika berlaku peperangan dan bencana alam maka jaminan bekalan makanan negara akan terjejas. Sektor pertanian negara yang menekankan kepada aktiviti pengeluaran makanan dan pemprosesan bahan mentah amat perlu dilakukan sepanjang masa malahan sehingga mencapai boleh dieksport pula. Ini memerlukan komitment semua pihak daripada pihak kerajaan, swasta, penuusaha, petani dan sebagainya dalam sistem rantaian.


Dalam membincangkan isu ini, dengan memberikan contoh pengimportan daging lembu dari negara luar atas faktor harga yang lebih murah berbanding menternak sendiri, Menteri Pertanian berkata ia akan melemahkan keupayaan negara dalam menghasilkan daging lembu. Bagi tujuan meningkatkan keupayaan negara dalam menghasilkan daging lembu serta memenuhi 50 peratus permintaan rakyat negara memerlukan pelaburan yang amat besar antara RM4 bilion dan RM5 bilion. Jumlah ini adalah terlalu besar berbanding dengan kos pembelian daging import seperti apa yang berlaku sekarang (Sila lihat daging import dipasaraya di foto sebelah). Kadar kecukupan keperluan daging di Malaysia adalah rendah dan masih bergantung banyak kepada import. Secara menyeluruh jika hendak menarik pelabur dalam bidang ini perlu melakukan perbincangan dengan kementerian lain serta melihat kepada pelaksanaan pelbagai kempen. Usaha perlu melihat daripada akar umbi seperti peranan pertubuhan peladang untuk membantu dalam meningkatkan penghasilan makanan. Peranan swasta dalam pengeluaran makanan negara perlu diberikan insentif dan galakkan agar negara mampu mengeluarkan makan yang mencukupi, selamat dimakan malahan disasarkan untuk dieksport. Kedudukan negara yang diiktiraf mampu menghasilkan produk makanan HALAL juga menjadi satu kelebihan dalam pasaran dunia. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim Agro Technology. Wasallam!.
KEDAULATAN MAKANAN...APA DIA...
MENTERI CERITA... FAHAM JUGA...
KELUAR SENDIRI...DALAM NEGARA...
ADA LEBIHAN.. EKSPORT PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(29 Syaaban 1437H)
Esok puasa akhir sebelum raya!....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...