Support My Blog

Wednesday, March 15, 2017

RAYON DARI POKOK KENAF

TANAMAN KENAF (Hibiscus cannabinus) dari keluarga Malvaceae merupakan sejenis tumbuhan Hibiscus renek yang serupa dengan tanaman bendi dan dipercayai berasal dari kawasan Asia Selatan. Tanaman ini kini telah pun ada diusahakan dibeberapa negara untuk penghasilan fiber dan pelbagai produk lain. Tanaman kenaf di Malaysia pernah di promosikan beberapa belas tahun dahulu di Malaysia bagi pengeluaran komersil tetapi penulis dapati ia masih kurang mendapat sambutan para petani. Kini Lembaga Tembakau Negera (LTN) di tukar kepada nama Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN) yang berfungsi untuk memajukan kenaf sebagai tanaman alternatif di Malaysia. Kajian penulis blog menunjukkan terdapat seluas 1,692 hektar tanaman kenaf pada Oktober 2010 melibatkan seramai 480 orang penanam. Antara beberapa kawasan yang menanam kenaf direkodkan di Pahang (Merchong), Kedah (Kubang Pasu) dan beberapa kawasan di Terengganu. Kenaf adalah sejenis tumbuhan renek yang cepat tumbuh dan dituai dalam masa 4 bulan serta sesuai untuk menggantikan tanaman tembakau di Malaysia. Kawasan iklim yang sesuai mempunyai taburan hujan antara 60-120 mm/bulan dengan suhu antara 25-28 celcius seperti di Malaysia. Tanah jenis liat berpasir dengan saliran baik perlu dipilih untuk tanaman kenaf. Sebaiknya perlu elakkan daripada menanam kenaf dikawasan tanah yang ada cacing nematod. Dalam rencana oleh saintis satu ujian kiraan nematod perlu dibuat dengan teknik Nematode Count untuk kawasan tanaman kenaf. Tanaman ini masih baru di Malaysia dimana pada peringkat awal ada kilang memproses kenaf yang hanya terdapat di Negeri Pahang sementara pengeluar benih kenaf terdapat di kawasan Kedah. Varieti kenaf dipilih dari yang tahan serangan daripada penyakit, mengandungi serat yang tinggi dan disukai oleh binatang ternakan untuk dijadikan bahan makanan ternakan. Kawasan yang hendak ditanam kenaf perlu di Bajak Asas (Plough) sedalam 30 cm kira-kita 25-30 hari sebelum aktiviti atau proses penyediaan tanah seterusnya. Pastikan ada sistem perparitan untuk elakkan tanah ditenggelami air atau mudah banjir. Kapor sebanyak 2 mt/ha ditabur untuk memperbaiki pH kepada 5.0 - 6.0. Tanah seterusnya di bajak putar (Rotor) dengan kedalaman 25-50 cm dengan rotovator. Bagi tujuan meningkatkan kesuburan tanah berikan POME dengan kadar 10-40 mt/ha dan baja tahi organik (5-15 mt/ha) dan unsur Ameliorasi (0.5-1 mt/ha) seminggu sebelum menanam kenaf. bajak putar kedua untu menggaul bahan baja asas kedalam tanah dan tambah dengan baja NPK. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" bagaimana pun membincangkan proses menghasilkan rayon dari tanaman kenaf seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan.


Penanaman kenaf menggunakan benih yang telah dikenalpasti kesesuaiannya dengan jarak tanaman 30 cm x 8 cm dan kepadatan sebanyak 40,000 pokok sehektar. Dianggarkan bijibenih yang diperlukan sebanyak 15 kg sehektar. Gunakan seeder untur menanam dan buat penyiraman. Adalah disyorkan untuk menyembur racun pracambah seperti S-metalachlor pada kadar 4 liter/ha bagi kawalan rumpai. Keperluan air disediakan secukupnya dengan peniraman selama 3 jam sehari selama 45 hari disesuaikan dengan keadaan hujan. Penuaian kenaf perlu disesuaikan dengan musim kering apabila pokok telah matang. Lazimnya untuk penghasilan fiber umur kenaf 100-120 hari sesuai dituai menggunakan cara manual atau mesin Mover atau Forage. Bagi penuaian untuk penghasilan Benih Kenaf sesuai di tuai pada umur pokok 120-150 hari lepas tanam,. Bagi penuaian untuk makanan ternakkan pula sesuai menuai pada umur 40-60 hari. Pokok kenaf yang dipotong dan dikumpul dan diikat dalam bundle dengan berat antara 20-25 kg/ikatan. Bundle kenaf yang diikat dinaikkan ke Lori untuk dihantar kekilang untuk di proses.


Seterusnya tahukah anda bagaimana menghasilkan produk daripada batang kenaf ini?. Dalam akhbar tempatan bertajuk 'Rayon daripada kenaf ' ada dipaparkan akhbar Harian Metro iaitu bagaimana proses menggunakan beberapa alatan dan mesin seperti mesin pemintal benang rayon daripada kenaf. Sebenarnya rayon adalah gentian buatan tumbuhan tertua yang dijadikan bahan gantian lebih murah berbanding sutera dan mula dikeluarkan di Perancis pada sekitar 1880-an. Kini bahan untuk menghasilkan fabrik itu digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis tekstil sama ada tenunan atau jahitan termasuk kemeja dan skirt. Di negara kita Malaysia kini bahan rayon diimport kerana tiada pengeluar tempatan dan menyedari keadaan itu. Antara langkah yang diambil oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama Raintree Index Sdn Bhd adalah dengan kerjasama dalam bidang menjalankan penyelidikan serta pembangunan kesesuaian kenaf untuk rayon. Penyelidikan yang diketuai Pegawai Penyelidik Kanan FRIM, Dr Rushdan Ibrahim itu bermula pada 2009 hingga 2010 sempena Program Pulpa dan Kertas. Projek itu memanfaatkan kenaf untuk menghasilkan rayon bagi kegunaan industri tekstil melalui kaedah baru memproses pulpa selulosa atau lebih dikenali dengan nama pulpa terlarut.

Menurut penerangan Dr Rushdan ada menyatakan dimana penyelidikan itu bukan saja membawa pembaharuan dalam proses pengeluaran pulpa selulosa tetapi dalam masa sama mampu menghasilkan rayon daripada kenaf setiap hari untuk kegunaan domestik. Rayon dihasilkan daripada pulpa iaitu selulosa iaitu komponen gentian dalam kayu yang diperoleh melalui proses pempulpaan dan pelunturan. Mereka telah menemui kaedah baru dalam proses pempulpaan bagi menghasilkan pulpa selulosa yang ditukar kepada bentuk likatan sebelum diubah kepada rayon. Pulpa selulosa mengandungi lebih 90 peratus selulosa dengan kandungan hemiselulosa, lignin dan resin yang rendah dengan tahap kecerahan tinggi serta taburan berat molekul sekata,” katanya. Projek itu turut bertujuan menghasilkan sebanyak 15 kilogram rayon mentah sehari selain mendorong kepada perkembangan industri tekstil rayon di negara ini. Pulpa selulosa dihasilkan daripada bahan lignoselulosa sama ada kayu atau bukan kayu dan kualiti bahan berkenaan bergantung pada sifat bahan mentah yang digunakan serta proses penghasilannya (Sila lihat foto disebelah). Kini permintaan tinggi terhadap produk mesra alam mendorong pelbagai usaha dalam penyelidikan dan pembangunan tertumpu kepada penggunaan bahan bukan dari hutan. Di Malaysia kini kenaf sudah diperkenalkan sebagai bahan bukan dari hutan. Kini bahan mentah kenaf ada dibekalkan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang beribupejabat di Kelantan. Penyelidikan yang mendapat tajaan geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bernilai RM1,530,000 itu dipatenkan pada 2011 dan paten berkenaan diiktiraf pada Mac tahun lalu. Tanaman kenaf walau agak perlahan diusahakan oleh petani di negara kita berbanding dengan tanaman lain masih ada potensi untuk dilaksanakan sebagai tanaman gantian. Wasallam!!.
TANAMAN KENAF... MUDAH DILAKSANA..
MUDAH DITANAM... PASARAN TERSEDIA...
TANAMAN GANTIAN... DIKAWASAN BIASA...
HASILKAN RAYON... POTENSI DI GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Kenaf, Sawah Merchong,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(12 JamadilAwal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...