Support My Blog

Monday, June 26, 2017

PEMBAJAAN TANAMAN


PEMBAJAAN TANAMAN (Manuring atau Fertilizer application) merupakan satu aktiviti penting dalam amalan agronomi tanaman. Selalunya kesuburan tanaman memang bergantung pada 3 perkara asas iaitu jenis baja, cara membaja dan masa pembajaan. Pokok yang dibaja akan menjadi sia-sia jika baja yang digunakan tidak sesuai dengan keperluannya atau masa pembajaan yang tidak betul serta berlaku pembaziran. Pembajaan adalah bertujuan untuk memulihkan kandungan nutrien dalam tanah yang telah diserap oleh tanaman melalui proses fisiologinya atau pun kehilangan disebabkan oleh fartur lain seperti larutresap, hakisan dan 'decay'. Kekurangan nutrien pada tanaman memang boleh menyebabkan proses tumbesaran tumbuhan akan terbantut. Antara tanda kekurangan pembajaan adalah dimana tanaman mudah patah dan daun menjadi kuning. Oleh itu baja boleh di takrifkan sebagai punca pemakanan tumbuhan yang boleh dicampurkan kepada tanah atau media tanaman (Sistem Fertigasi)  untuk membekalkan bahan-bahan yang diperlukan oleh pokok. Kini sistem tanaman secara fertigasi dan NFT merupakan cara moden bagaimana sistem pembajaan diberikan mengikut kehendak tanaman dan penghasilan dapat dijadualkan dengan baik. Kaedah kovensional masih mengamalkan penggunaan baja ditabur diatas tanah atau semburan baja foliar. Artikel tengahari Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai bagaimana pembajaan penting dilakukan pada tumbuh-tumbuhan. 

Tumbuh-tumbuhan memerlukan 17 unsur-unsur pemakanan untuk membesar dan melengkapkan edaran hidupnya. Unsur-unsur ini boleh di kategorikan kepada kepada dua kategori iaitu Baja Organik dan Baja Kimia. Penggunaan, formulasi dan kandungan kedua-dua jenis baja ini adalah berbeza dengan amat nyata. Lazimnya semua tumbuhan memperolehi unsur-unsur baja seperti C, H, O, N, P, K, Ca, Mg, TE dan lain-lain lagi daripada tiga sumber iaitu dari udara, air dan tanah. Unsur penting seperti Karbon, Hidrogen dan Oksigen diperolehi oleh pokok daripada air dan udara, manakala unsur-unsur lain semuanya diperolehi dari tanah iaitu dari baja dan bahan organan dalam tanah. Kini masih ramai petani dikawasan kampong tradisional yang mempunyai pokok buah-buahan tidak melakukan pembajaan mengikut keperluan. Ini boleh menyebabkan hasil dusun dan tanaman mereka rendah. Apa pun mereka boleh memohon sijil My Organic jika dibuat audit pemeriksaan ladang persijilan ladang organik. Buah-buahan seperti buah manggis, durian, langsat, dokong, rambutan yang tidak pernah dibaja kimia atau penggunaan bahan kimia mungkin membolehkan hasil mereka dikategorikan sebagai ladang organik.

Dalam dunia baja dan pembajaan, terdapat dua kategori baja iaitu Baja Organik dan Baja Kimia. Baja Organik adalah baja asli yang terdiri daripada sisa tumbuhan atau najis haiwan. Kini terdapat banyak jenis baja organik yang telah dikomersilkan dalam dan cara pembungkusan yang kecil dan menarik (Sila lihat foto disebelah - gunakan jenama Baja Organik). Baja Organik biasanya digunakan sebagai baja permulaan sebelum penanaman dilakukan. Penggunaan baja organik bertujuan untuk meninggikan tahap kesuburan tanah dan membaiki tekstur tanah. Pastikan najis haiwan yang digunakan telah cukup reput dan tidak mengandungi patogen yang boleh menyebabkan serangan perosak dan penyakit kepada tanaman. Contoh baja organik yang sering digunakan adalah seperti najis-najis haiwan, buangan kelapa sawit seperti tandannya, humas atau kompos, darah dan tulang yang diproses dan sebagainya. Baja oranik dikaitkan dengan kamanisan buah-buahan dimana ia sesuai digunakan untuk kebanyakan jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.

Baja Kimia merupakan jenis baja yang diproses kepada bentuk-bentuk butiran, hablur dan cecair. Baja kimia jenis butiran boleh digunakan secara terus kepada tanaman manakala jenis hablur dan cecair hendaklah dicampurkan dengan air terlebih dahulu sebelum disembur kepada tanaman. Diantara baja kimia yang sering digunakan seperti baja Urea, CIRP, Nitrophoska, Byfolan, Welgrow, Yara Milla dan sebagainya. Dalam mengenal mengenai baja kimia, ia sering didapati dijual dikedai-kedai pertanian dalam bungkusan mengikut spesifikasi masing-masing. Baja kimia jenis butiran pula terdapat dalam 2 jenis iaitu Baja Butiran Kompaun (compound fertilizer) dan juga Baja Tunggal. (single dressing fertilizer). Penggunaan kedua-dua jenis formulasi ini bergantung kepada tujuan pembajaan dan masa pembajaan. Baja Kompaun adalah jenis baja yang telah diproses lengkap dengan pelbagai unsur. Lazimnya baja ini mempunyai formulasi pelbagai jenis unsur sepertu baja Sebatian NPK 15:15:15 & NPK 12:12:17+2 TE yang menyatakan komposisi unsur didalamnya. Baja Tunggal pula adalah jenis baja yang punyai satu jenis unsur sahaja. Antara jenis baja ini seperti Urea (N), TSP- Triple super fosfat (P2O5), MOP- Muriate of potash (K2O) yang digunakan ikut tujuan masing-masing.

Bagaimanakan cara aplikasi pembajaan yang betul?. Ini merupakan perkara penting dalam aktiviti pembajaan terutamanya untuk ladang luas seperti ladang Kelapa Sawit dan Ladang Getah. Cara paling sering dilakukan adlah dengan Cara Taburan iaitu dengan cara ini butiran baja akan ditabur atau disebar sama rata ke atas tanah dengan tangan atau menggunakan jentera penyebar (Sila lihat foto disebelah). Berbeza dengan tanaman, ada kalanya baja ini akan digaul dengan tanah supaya ianya tidak terdedah dipermukaan tanah terutama untuk membaja asas sayur-sayuran dan kemudian ia akan disiram dengan air yang mencukupi. Teknik membaja seterusnya dikenali sebagai Cara Jalur atau jajar (Band or row placement) dimana dengan cara ini selalunya baja dibubuh ke dalam tanah iaitu biasanya di sebelah dan di bawah bijibenih. Pembajaan cara ini memerlukan teknik berhati-hati supaya baja tersebut tidak terkena atau terlalu dekat dengan bijibenih atau anakbenih kerana ia mengganggu proses pertumbuhan benih tersebut. Pemerhatian penulis dalam aktiviti menanam jagung baja asas akan dibubuh 2”- 4” di sebelah dan di bawah benih semasa menanam. Cara ini digunakan pada tanaman berbaris seperti jagung, kacang soya, sekoi, kacang tanah dan lain-lain. Teknik ini sesuai dilakukan jika menanam diatas batas.

Teknik Membaja Permukaan (Top dressing) dilakukan dengan tujuan rumbesaran pokok. Baja permukaan adalah apabila kita menabur baja semasa tanaman sedang membesar. Hanya baja nitrogen sahaja yang selalu digunakan untuk baja permukaan, kerana baja nitrogen senang larutresap dan oleh itu hanya se tengah sahaja dibubuh semasa menanam dan yang selebihnya dibubuh semasa tanaman sedang membesar. Teknik Pembajaan Sisi (side dressing) adalah cara dimana baja dibubuh di sisi atau di sebelah tanaman yang sedang membesar. Cara ini dibuat bagi tanaman berbaris, tanaman berjunjung dan pokok-pokok. Bagi tanaman se musim, pembajaan sisi ini hanya dilakukan untuk baja nitrogen sahaja (Sila lihat foto penulos di Labuan). Kelima adalah teknik Pembajaan Berpoket (pocket placement) dimana lazimnya cara ini baja dibubuh secara bertumpuk-tumpuk iaitu dibubuh dilubang-lubang dan kemudian ditimbus. Cara ini selalu digunakan apabila membaja pokok-pokok dengan membubuh baja dilubang-lubang yang dikorek disekeliling pokok. Cara ini juga digunakan apabila membaja ubi keledek dan lain-lain. Lubang di korek di keliling silara dengan jarak 50 cm. Akhir sekali adalah pembajaan teknik Penyemburan Daun (foliar application). Cara ini selalu digunakan untuk memberi unsur pemakanan mikro kepada tanaman iaitu dengan cara menyembur larutan pemakanan tersebut kepada daun-daun. Unsur-unsur kuprum, zink, ferum, boron, dan molybdenum, selalunya diberikan kepada tanaman dengan cara semburan daun. Sembur pada daun dan batang sehingga basah sampai ke tanah. Kini terdapat banyak baja foliar yang dijual dipasaran kerana mendapat permintaan baik dikalangan petani. Selain daripada ianya memberikan kesan pembajaan yang nyata, baja foliar amat mudah digunakan, ringan dan harga yang berpatutan. Diharap artikel ini memberi info terbaik untuk pembaca blog "Anim Agro technology" kali ini. Wasallam!
MEMBAJA POKOK... ADA CARA...
PILIH BAJA... SEMAK HARGA...
BAJA ORGANIK...ATAU KIMIA...
POKOK SUBUR... HATI GEMBIRA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint, 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(23 Muharam 1436H)
Kemaskini pada 22 Jun 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...