Support My Blog

Sunday, October 15, 2017

KOPI NANAS 'NGENCES'

KOPI NANAS?... Mungkin ramai dikalangan pembaca blog ini tidak pernah mendengar atau merasa minuman kopi dengan perisa dan aroma nanas ketika menikmatinya. Kopi (Coffea spp) dan Nanas (Ananas comosus) merupakan dua jenis tanaman yang ada ditanam dinegara kita semenjak ratusan tahun dahulu sebagai sumber pendapatan ramai petani. Tanaman koli di Malaysia kebanyakannya adalah dari jenis Liberica (Coffea liberica) dan juga jenis Robusta (Coffea robusta) dengan keluasan tanaman direkodkan oleh Jabatan Pertanian sekitar 3,714 hektar pada tahun 2016. Penelitian penulis blog mendapati kopi jenis Robusta pernah ditanam sedikit di Utara Semenanjung Malaysia tetapi agak luas ditanam di Sabah dan ada sedikit di Sarawak. Malaysia kini sebenarnya mampu mengeluarkan biji kopi mentah sekitar kurang dari 3% untuk keperluan tempatan manakala baki sebanyak 97% biji kopi mentah adalah diimport dari luar. Sebanyak 97,500 mt - 100,000 mt biji kopi mentah diimport setiap tahun untuk kegunaan kilang kopi tempatan dan juga seterusnya produk kopi tersebut untuk kegunaan tempatan dan juga dieksport. Nanas pula merupakan tanaman yang ditanam untuk buah dimana dulu ia adalah untuk dikaleng (ditinkan) tetapi kini buah nanas lebih untuk dimakan segar bagi kegunaan domestik dan eksport. LPNM melaporkan luas penanaman nanas fizikal di Malaysia adalah seluas 15,774 hektar dengan keluasan dituai sekitar 13,148 hektar yang telah menghasilkan buah sebanyak 391,714 metrik tan buah nanas dengan nilai pengeluaran pada tahun 2016 sekitar RM515.248 juta (Sumber: Laporan statistik LPNM, 2017). Walau pun nanas varieti MD2 semakin mendapat permintaan tinggi untuk pasaran domestik dan eksport namun beberapa varieti lain yang masih masih popular ditanam. Buah nanas kini menjadi pilihan ramai dimana ia amat berkhasiat serta ujud bekalan sepanjang tahun. Kini atas usaha LPNM dan beberapa usahawan tempatan telah memperkenalkan semula dan mempromosikan produk KOPI NANAS. Ketua Pengarah LPNM telah menyatakan perlunya produk kopi nanas seperti ini diketengahkan dengan konsep moden dan menarik seperti apa yang dilakukan oleh Syarikat Kopi Ngences. Satu promosi dilakukan dan dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia untuk tujuan ini. Rencana malam ini dengan desiran bayu Laut Cina Selatan dari Tingkat 5 Resort World Kijal, Kemaman, Terengganu saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai kopi nanas dan laporan akhbar mengenai produk ini untuk rujukan dan bacaan anda.

Kopi Nanas merupakan kombinasi produk minuman yang menggabungkan diantara bahan serbuk kopi dengan serbuk nanas dengan kaedah tertentu. Kopi nanas sesuai diminum dengan air panas mahupun sesuai dengan ais. Pada saya bagi tujuan mendapatkan aroma sebenar ia sebaiknya diminum dengan air panas bersama kadar gula yang sedikit sahaja. Kalau gula berlebihan ia biasanya akan mengurangkan rasa asal kopi dan nanas didalamnya. Penulis yang minat minum kopi kerana khasiatnya dan kebaikannya memang suka dengan kopi perisa nanas dari beberapa buah syarikat pembuat kopi nanas tempatan. Daripada sumber dilaporkan dahulu ada sekitar 3-5 syarikat bimbingan LPNM yang berusaha memproses dan menjual kopi perisa nanas tetapi oleh kerana masaalah bekalan bahan mentah dan pasaran difahamyan kini hanya tinggal 2 sahaja yang beroperasi. Pengusaha peringkat awal mereka menggunakan serbuk nanas yang diproses menggunakan teknology 'spray dry' yang kosnya amat tinggi berbanding dengan teknologi terkini yang lebik murah dan praktikal. Bahan kopi mengandungi 'Caffien' yang baik untuk kesihatan termasuk mengelakan masaalah Alzeirmer's serta merangsang otak sentiasa cergas. Sementara itu nanas merupakan buah yang banyak vitamin C serta bahan Bromaleine yang bagus untuk membantu kawal sel kanser dan meningkatkaan proses pencernaan manusia. Kombinasi antara kedua jenis bahan ini membolehkan para pengguna akan menikmati kehebatan tanaman yang mampu ditanam dan dijadikan produk untuk pasaran domestik dan juga pasaran antarabangsa. Penulis berkesempatan bersama dengan pengasas kopi ngences semasa promosi dilakukan (Sila lihat foto disebelah). Kopi nanas ini akan menjadi satu pilihan untuk peminat minuman kopi dan mengharapkan khasiat buah nanas. Konsep pemasaranterkini dengan ada banyak perasa kopi nanas membolehkan kopi ini menjadi satu kegemaran minuman ramai.

Kini Syarikat Kopi Nanas Ngences telah melangkah satu langkah kehadapan dengan mempromosikan beberapa pilihan kopi berasaskan nanas dalam bentuk yang moden. Berkonsepkan pasaran kopi francais Ala 'STARBUCK' dan "DOI CHAANG" kini ia bakal memberikan pilihan terbaik kepada pengguna. En Redzuan selaku pemilik syarikat ini melakukan banyak penelitian mengenai produk kopi nanas dari segi pembangunan produk, konsep hidangan, strategi pemasaran dan sebagainya dengan kerjasama beberapa pihak termasuk LPNM.  Pada masa ini kopi nanas dari syarikatnya masih diperingkat promosi dan pengenalan kepada orang ramai untuk ujirasa demi meningkatkan kualiti dan penerimaan pengguna. Pada penulis blog yang merasai kesemua 8 jenis kopi yang diujirasa memang memberikan 'Jempol' kepada semua jenis kopi nanas yang dihidangkan. Memang ia merupakan satu produk tempatan yang boleh dibanggakan dihasilkan oleh anak tempatan daripada muar, Johor. Memang tepat ia dihasilkan oleh anak Johor kerana negeri ini menanam nanas dan menghasilkan buah nanas 68% daripada keluasan dan pengeluaran negara. Ini bermakna beliau tidak mempunyai masaalah untuk menghasilkan kopi nanas dinegeri Johor diperingkat permulaan ini.


LAPORAN AKHBAR
Kopi nanas semakin dapat sambutan
Utusan Malaysia 13, Oktober 2017: 3.00 AM

Datuk Mohd. Anim Hosnan (tiga dari kiri) dan rombongan dari Sarawak 
mencuba rasa kopi nanas yang dihasilkan syarikat Coffee Ngences 
di ibu pejabat LPNM Bandar Baru Uda , Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 12 Okt. – Jika anda penggemar kopi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba kopi nanas. Walaupun agak baru, namun percubaan oleh sebuah syarikat bumiputera, Coffee Ngences kian menampakkan hasil apabila pelbagai jenis minuman yang dihasilkan dengan campuran buah nanas semakin mendapat sambutan daripada orang ramai. Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, usaha tersebut merupakan salah satu lagi langkah memperluaskan pasaran dan kegunaan nanas. “Usaha ini juga merupakan nilai tambah bagi buah nanas. Ini berita baik kepada pekebun dan pengusaha produk nanas,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui pada sesi mencuba rasa pelbagai minuman yang dicampur nanas oleh syarikat Coffee Ngences di Ibu Pejabat LPNM, Bandar Baru Uda, di sini. Mohd. Anim turut meraikan rombongan dari Sarawak yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismawi Ismuni dengan mencuba minuman berkenaan selepas me­ngadakan satu mesyuarat berkaitan penanaman industri nanas di negeri berkenaan. Sementara itu, pemilik Coffee Ngences, Mohd. Redzuan Shah Ahmad berkata, minuman seperti kopi nanas yang diperkenalkan pihaknya kira-kira sebulan lalu semakin mendapat sambutan daripada orang ramai. “Kami kini sedang memperkenal enam minuman yang dicampur na­nas, iaitu kopi nanas, mocha nanas, coklat nanas, yogurt nanas, vanila nanas dan kopi nanas 3 dalam 1. “Minuman berkenaan dijual dengan harga antara RM6 hingga RM8 satu cawan,” katanya. Beliau yang merupakan anak jati Muar nekad untuk memperkenalkan minuman berasaskan buah nanas kerana tanaman tersebut merupakan salah satu identiti negeri ini. “Kami juga berusaha untuk membantu mempelbagaikan produk nanas,” katanya. Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan kopi ngences boleh berhubung dengan pengurus syarikat ini.
Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology yang masih terus unggul dalam dunia pertanian. Wasallam!!!.


KOPI NANAS... PRODUK BARU DIA...
MINUMAN SIHAT... SESUAI DIGUNA....
SYARIKAT NGENCES.. ADA PRODUKNYA...
SUDAH MERASA... SEBARKAN BERITA...

By,
M Anem,
Senior Agronomi,
Room 522, Resort World Kijal,
Kemaman, Terengganu,
Malaysia.
(13 Oktober 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...